LONDON – Pelumba sensasi McLaren, Lando Norris menyifatkan juara dunia tiga kali, Max Verstappen sebagai pemandu paling sukar disaingi dalam grid perlumbaan Formula Satu (F1) musim ini.
Walaupun berdepan cabaran dengan pelumba-pelumba hebat lain seperti Charles Leclerc (Ferrari), Lewis Hamilton (Mercedes) dan rakan sepasukannya sendiri, Oscar Piastri, namun Norris membuktikan dia adalah pencabar gelaran dunia 2024.
Ketika ini, Norris hanya dipisahkan 52 mata dengan pemandu sensasi Red Bull, Verstappen dan dijangka McLaren akan melakukan aksi terbaik untuk memburu gelaran dunia terutama perlumbaan musim ini hanya berbaki enam perlumbaan termasuk tiga perlumbaan pecut.
“Max (Verstappen) adalah pelumba paling sukar untuk saya berdepan di litar. Dia sangat bijak dalam memahami situasi, dibantu oleh pengalamannya sebagai juara dunia sebelum ini.
“Bagi saya, kejayaan tersebut masih agak baru. Jadi, Verstappen mempunyai pengalaman tersebut dan bersedia untuk menghadapi sebarang tekanan mendatang,” kata Norris
Dalam pada itu, Norris turut percaya pengalaman bertarung secara kerap dengan pelumba elit seperti Verstappen dan Hamilton membantunya memahami cara terbaik untuk bersaing dalam pelbagai situasi perlumbaan yang mencabar.
“Mereka telah berada lebih lama dalam perlumbaan ini dan faham bagaimana untuk mengendalikan situasi yang saya belum pernah dilalui. Jadi, apa yang telah saya lalui ketika ini membantu saya menjadi pemandu yang lebih baik dan lengkap,” katanya. – AGENSI














