ROM – Ketua Jurulatih Itali, Luciano Spalletti melakukan kejutan apabila memanggil khidmat dua pemain muda dari AS Roma dan Monza untuk membantu pasukan itu berdepan Belgium di Stadium Olimpico awal pagi esok.
Pengendali tersebut membuat keputusan membawa masuk Niccolo Pisili dan anak legenda The Azzurri, Daniel Maldini dalam skuad 23 pemainnya untuk perlawanan tersebut yang pada fikirannya mampu menambah variasi pasukan itu.
“Daniel adalah pemain yang mampu melengkapkan pasukan ini. Dia memiliki gaya permainan yang menarik terutama ketika membantu bahagian pertahanan menyekat pergerakan pemain lawan di bahagian tengah.
“Saya percaya peluang ini akan membantunya berkembang dan lebih konsisten dalam setiap perlawanan. Saya gemar bercakap dengannya kerana dia memiliki potensi dan kita akan sama-sama melihatnya,” katanya.
Mengulas mengenai keputusan membawa masuk Pisili, Spalletti mendedahkan bahawa beliau mendapat maklumat secara terperinci mengenai pemain tersebut daripada bekas pengendali AS Roma, Daniele De Rossi yang memberikannya cadangan untuk pemain itu diberikan peluang.
“Dia adalah pemain tengah yang sangat baik. Dia tahu cara untuk bermain dalam kedua-dua babak perlawanan dan berusaha untuk menonjolkan diri. De Rossi memberitahu, Pisili memiliki kemampuan meledak gol dalam ruang yang kecil.
“Dia memiliki tenaga yang luar biasa, dia mampu untuk melakukan apa sahaja. Saya fikir dia sudah bersedia untuk mencipta sejarah bersama pasukan ini. Saya mahu melihat kedua-dua mereka beraksi dan memberikan pasukan ini kelainan.
“Saya membuat keputusan membawa 23 pemain walaupun ada ruang untuk menambah dua lagi pemain. Saya tidak mahu dua lagi pemain itu hanya mendapat lima atau enam minit aksi di padang, kemudian mereka berasa kecewa,” jelasnya. – AGENSI














