fbpx
JANGAN jadi pembuli siber di laman sosial. - GAMBAR HIASAN

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Kehidupan seseorang individu itu boleh berubah walau hanya melalui alam maya. Apa tidaknya, dengan hanya satu komen yang ditinggalkan di media sosial, seseorang itu boleh bertindak di luar batas tanpa pengetahuan orang di sekelilingnya.

Baru-baru ini, seorang pemandu lori dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas mengaku salah menghantar komunikasi lucah, mengaibkan dan mengganggu ibu kepada pempengaruh TikTok, Esha.

Hakim menetapkan hukuman itu selepas B. Satishkumar, 44, menukar pengakuan kepada bersalah.

Dia didakwa memulakan penghantaran komunikasi lucah dengan niat menyakitkan hati orang lain melalui TikTok menggunakan profil dulal_brothers_360 pada pukul 10.12 malam, 30 Jun lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.

Tertuduh juga didakwa mengaibkan dan mengganggu kesantunan ibu mendiang Esha, P. R. Puspa, 56, melalui Tiktok dengan menggunakan profil TikTok sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Berdasarkan hukuman itu, dapat dilihat mahkamah bertindak tegas atas kejadian yang menimpa mangsa.

Peguam Muhammad Amin Abdullah berkata, tindakan mahkamah yang menjatuhkan hukuman berat itu adalah sesuatu yang wajar.

“Mesej yang hendak disampaikan kepada masyarakat melalui hukuman jelas menunjukkan buli di alam maya adalah perbuatan yang melampau,” kata peguam itu.

Menurut beliau, dalam dunia teknologi sekarang, seseorang itu sepatutnya lebih beretika dalam menggunakan media sosial.

“Berpada-pada dalam penulisan dan tutur kata supaya tidak terjebak dengan tindakan buli siber sama ada secara sedar atau sebaliknya. Bak kata pepatah terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya,” katanya.

Terdahulu, pada prosiding kes Esha, pihak pendakwaan mencadangkan hukuman penjara dikenakan ke atas tertuduh kerana penggunaan perkataan lucah yang digunakan semasa siaran Tiktok berlangsung menggambarkan niat jahat tertuduh untuk menyakitkan hati mangsa.

Ini kerana, pihak pendakwaan berhujah ia akan menjadi panduan kepada masyarakat umum berkenaan perkataan lucah yang digunakan di dalam media sosial.
Kosmo! sebelum ini melaporkan Esha, 30, yang juga aktivis ditemui meninggal dunia di rumahnya sehari selepas membuat laporan polis berhubung ugutan jenayah dan fitnah terhadap dirinya.

Lima tahun lalu, media luar negara pernah melaporkan seorang bintang K-pop popular yang sudah lama menjadi sasaran pembuli siber ditemui mati di kediamannya.

Mayat Sulli, 25, yang merupakan bekas anggota kumpulan f(x), ditemui pengurusnya di rumahnya di pinggir bandar Seoul. Polis dalam satu kenyataan memaklumkan artis itu menghidap kemurungan teruk.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN