SABAK BERNAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak menafikan wujud beberapa kes terpencil berkaitan ketiadaan minyak masak peket di negeri ini.
Pengarah KPDN Selangor, Mohd. Zuhairi Mat Radey berkata, pihaknya telah menggerakkan pasukan penguatkuasa untuk menjalankan pemantauan pada Isnin lalu.
Jelas beliau, hasil pemantauan mendapati minyak masak peket masih pada tahap 90 peratus di peringkat pemborong manakala 80 peratus pula bagi peruncit.
“Namun, kita tidak nafi terdapat beberapa laporan kes terpencil berhubung rungutan ketiadaan minyak masak tersebut.
“Kebanyakan premis dilaporkan itu melibatkan kedai runcit Aceh yang tidak mempunyai lesen barang kawalan,” katanya pada program Ride for Rahmah (RFR) Madani 2.0 di Parit 4, Sekinchan di sini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan golongan peniaga dan pengguna mendakwa sukar mendapatkan bekalan minyak masak peket satu kilogram (1kg) dengan ada antaranya terpaksa menunggang sejauh lima kilometer semata-mata untuk membelinya.
Tinjauan mendapati ada pengguna mendakwa mereka dikenakan syarat supaya membeli barang lain terlebih dahulu sekiranya mahu mendapatkan minyak masak peket berharga RM2.50 itu.
Menurut Mohd. Zuhairi, kedai milik warga asing seperti Aceh tidak dibenarkan menjual minyak masak peket itu dan pemborong juga tidak memberi mereka bekalan.
“Kekurangan minyak itu juga disebabkan kedai mengalami masalah perniagaan antaranya tidak mempunyai kredit mencukupi dengan pemborong,” ujarnya.
















