KITa sering menilai bahagia daripada kesempurnaan mata kasar yang adakalanya menipu pandangan sendiri.
Kita melihat melihat banyak pasangan, selebriti popular misalnya asyik bercerai-berai, turun naik mahkamah demi talak bahkan ada yang bertahun-tahun memperjuangkan nafkah dan berebut anak. Ternyata, kemasyhuran, pengaruh dan kemewahan bukan jaminan bahagia.
Ada juga yang tidak habis-habis dibadai onar, perkahwinan tanpa restu, anak menantu buat hal, bermusuh adik-beradik, di mata umum, mudah sahaja mereka itu dicop tidak bahagia. Hidup dirundung masalah.
Lihat sahaja bagaimana pasangan pelakon popular, Nur Fazura dan Fattah Amin yang bertahun-tahun dilihat sebagai pasangan paling bahagia akhirnya ke mahkamah juga mahu bercerai, demi kesejahteraan anaknya katanya.
Syamsul Yusof dan Ira Kazar pula belum sampai dua tahun kahwin atas nama cinta juga sudah bercerai.
Jadi terbukti, segah mana cinta dan restu keluarga juga bukan jaminan rumah tangga kekal bahagia ke akhir hayat.
Dalam waktu serupa, kita juga mengukur bahagia dengan angka yang ada dalam baki akaun, gaya hidup mewah dan senyuman yang ditayang-tayang dalam media sosial. Hakikatnya, barangkali separuh daripada visual itu hanyalah sebuah escapism.
Ya, kita diajar ukuran bahagia sangat subjektif tetapi diam-diam penilaian mata telah sebati dalam kepala semua, sedangkan bahagia yang sebenarnya ada banyak aspek yang tidak terbatas oleh yang tersurat dan tersirat.
Kadang-kadang, terfikirkah kita bahawa hidup pekerja pembersihan adakalanya lebih tenang dan bahagia berbanding pekerja yang menghabiskan masa seharian di dalam bilik berhawa dingin.
Jadi bahagia itu dari mana? Ada yang kata bahagia itu cerminan positif dan negatif hati atau seberapa sering seseorang berasa bahagia, puas, atau penuh syukur dibandingkan dengan perasaan stres, cemas, atau sedih dalam pekerjaan, hobi, sosial mahupun keluarga.
Orang muda mungkin tidak terlalu serius memikirkan titik kebahagiaan sejati. Apa yang ada depan mata, ada wang, sokongan ibu bapa, teman-teman dan liburan, mereka sudah cukup bahagia.
Namun, tuntutan bahagia semakin tinggi saat usia semakin meningkat, melepasi 40-an misalnya. Ketika soal tujuan dan makna hidup menjalar di sana-sini. Pada usia itu, sihat fizikal dan mental amat penting untuk bahagia. Bebas menentukan dan mengawal keputusan sendiri juga bahagia yang tidak terhingga.
Sedikit sinikal, untuk wanita solo, bebas mahu tidur tak kira waktu tanpa perlu risau apa kata lelaki bernama suami juga satu bahagia. Boleh pergi ke mana sahaja tanpa kekangan anak dan pasangan juga bahagia.
Seperkara yang penting, tak molek menilai bahagia ikut meter peribadi sendiri tetapi ikutlah kasut si pemakainya. Walau ada banyak faktor, bahagia pada akhirnya adalah pengalaman yang sangat peribadi dan unik setiap individu.
Konsepnya mudah, bahagialah dalam acuan sendiri berdasarkan nilai, keinginan, dan standard yang kita tetapkan sendiri, bukan berdasarkan harapan atau tekanan orang lain atau masyarakat. Satu lagi, siapa pun kita, jangan angkuh kamulah ‘terpaling bijak memilih bahagia’, kerana semua itu ada pro dan kontranya.
















