JERANTUT – Kejadian banjir di Pahang merekodkan korban pertama selepas seorang lelaki ditemukan lemas manakala seorang anaknya masih hilang selepas dihanyutkan arus deras Sungai Puas di sini.
Mangsa Zulkarnain Hitam,58, yang hanyut ketika melintasi kawasan banjir berhampiran sungai itu ditemukan oleh anaknya selepas kejadian.
Ketua Polis daerah, Superintendan Mazlan Hassan berkata, kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu berlaku ketika mangsa bersama tiga anaknya dalam perjalanan dari rumah mereka di Taman Perdana ke sebuah rumah di Kampong Sokti di sini.
Katanya, apabila sampai kira-kira dua kilometer dari rumah kampung mereka, mangsa bersama tiga orang anaknya meletakkan kenderaan di Kampung Gintong susulan jalan terputus akibat banjir.
“Apabila sampai di lokasi kejadian mangsa tiba-tiba hanyut dibawa arus air sebelum dua orang anak mangsa berjaya mencari dan menarik semula mangsa yang lemas.
“Tidak lama kemudian mangsa lemas dan dua orang anak mangsa berjaya dibawa naik oleh orang kampung, manakala mangsa yang hanyut gagal ditemukan,”katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, anak mangsa Ukai Iskandar Zulkarnain, 23, yang merupakan pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) masih belum ditemukan.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat yang ditangguhkan pada pukul 3.30 pagi semalam diteruskan lagi pada pukul 8 pagi ini.
Dalam pada itu, Mazlan menasihatkan orang ramai berhati-hati dalam keadaan banjir dan merancang perjalanan dari semasa ke semasa.
“Orang ramai diminta berwaspada dengan keadaan banjir bagi mengelakkan kejadian yang tidak di ingin berlaku seperti pokok tumbang.tanah runtuh dan kenaikan paras air di Sungai Pahang,”ujarnya. -K! ONLINE.














