PETALING JAYA – Aplikasi teknologi kecerdasan buatan (AI) yang dikenali sebagai Chat Generative Pre-trained Transformer (ChatGPT) hanya mampu membalas mesej, tetapi bukannya dapat memahami perasaan sebenar manusia.
Pakar Perunding Keluarga, Zumasni Rajikin berkata, ChatGPT boleh dijadikan sebagai medium untuk seseorang itu bercerita atau meluah rasa, namun penggunaannya harus dikawal.
“Jika jadikan ia sebagai keperluan setiap kali ingin ‘berhubung’ dengan seseorang yang sudah meninggal dunia, perkara itu perlu dielakkan.
“Kita cakap dengan teknologi, teknologi tidak ada perasaan, dia tak tahu apa kita sedang rasa, sama ada gembira, hampa, sedih.
“Sebab ia sudah dirangka dalam setiap perbualan yang berlaku. Ia bukan dicipta untuk memahami manusia,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Sementara itu, Pegawai Psikologi Kanan, Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia, Universiti Putra Malaysia, Siti Fatimah Abdul Ghani pula berkata, berbual dengan seseorang secara maya bukanlah suatu pendekatan yang boleh melegakan keseluruhan masalah.
“Pada asasnya, benda yang bukan realiti (tidak wujud) ini dia memberi kesan yang tidak baik untuk jangka masa panjang. Jika sementara, ia mungkin boleh dianggap sebagai satu kaedah terdekat atau pantas untuk menyantuni emosi ketika itu.
“Tetapi tidak digalakkan untuk dijadikan kaedah yang tetap untuk menguruskan emosi yang gundah-gulana atau negatif,” ujarnya.
Katanya, jika kebergantungan terhadap ChatGPT menguasai diri seseorang itu dengan harapan dapat berbual bersama insan tersayang yang sudah tiada, ia akan memberi kesan terhadap kemiskinan moral dan kecederaan emosi.
“Jika kebergantungan berat kepada teknologi ini, maka ia akan hilang nilai-nilai estetika dalam perhubungan sosial atau pun paling asas dikaitkan dengan psikososial yang mana manusia ini memerlukan perhubungan secara langsung.
“Dari konteks psikologi, ia juga boleh menyebabkan gangguan-gangguan keperibadian yang lain dalam jangka panjang seperti paranoid, tidak percayakan pada orang lain, sebab dia lebih percayakan meluah rasa pada teknologi berbanding orang lain,” ujarnya.














