MENCARI yang halal merupakan satu kewajipan ke atas setiap umat Islam termasuklah makanan.
Malah, Islam sangat menitikberatkan soal halal dan haram dengan sangat teliti kerana jika perkara ini tidak dipandang dengan serius, ia menjadi darah daging kita.
Di Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melaksanakan pensijilan halal bagi memudahkan umat Islam mencari makanan yang halal.
Meskipun pensijilan halal ini telah lama dilaksanakan, namun ia menjadi satu polemik yang hangat dibincangkan apabila ada cadangan yang mewajibkan restoran dan syarikat makanan di negara ini memiliki sijil halal.
Lantaran daripada cadangan itu, pelbagai pihak mengeluarkan pendapat masing-masing sehingga mencetuskan pelbagai reaksi.
Timbalan Dekan Jaringan yang juga Pensyarah Fiqh Makanan dan Kepenggunaan Kontemporari Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Datuk Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd. Kashim berkata, beliau amat berbangga dengan usaha Jakim dan agensi agama Islam negeri-negeri dalam memartabatkan pensijilan halal Malaysia di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.
Menurutnya, beliau sendiri telah terlibat sebagai panel pensijilan halal Malaysia bersama Jakim dan Negeri Selangor lebih 13 tahun dan mendapati bahawa pihak berautoriti agama tidak pernah mewajibkan sijil halal kepada peniaga-peniaga.
“Ia lebih kepada galakan supaya produk makanan di negara ini lebih meyakinkan pengguna dari aspek halal mahupun kebersihan
“Realitinya, sijil halal Malaysia tidak sama sekali memalukan negara tetapi ia satu kebanggaan apabila banyak negara luar mengiktiraf Malaysia sebuah negara yang amat terperinci dalam mengeluarkan sijil halal,” katanya.
Oleh itu, beliau menyambut baik usaha Jakim yang telah mempermudahkan rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa untuk menyemak status pemilikan sijil halal Malaysia dalam talian.
Mengulas lanjut, Mohd. Izhar berkata, ia salah satu petanda positif yang membuktikan bahawa sijil halal kita dihormati sehingga ia menjadi rujukan setiap umat Islam yang mementing makanan halal lagi bersih.
“Makanan yang bersih merupakan idaman setiap rakyat tanpa mengira agama.
“Galakan kepada premis makanan untuk mendapatkan sijil halal amat penting kerana terdapat sebahagian pengusaha yang hanya memikirkan keuntungan, tetapi tidak menjaga kebersihan dan keselamatan produk makanan yang dijualnya.
“Ini akan membahayakan kesihatan pengguna dan pengunjung,” jelasnya.
Tambahnya, atas asas itu, kerajaan menerusi Jakim telah memperkasakan pensijilan halal Malaysia untuk memastikan makanan yang dijual itu halal, bersih dan selamat untuk rakyat Malaysia.
“Walaubagaimanapun, ia terpulang kepada peniaga sama ada ingin memohon sijil halal atau tidak kerana kerajaan tidak pernah mewajibkan ke atas para peniaga,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa, data juga menunjukkan bahawa peniaga dan premis milik bukan bumiputera adalah lebih ramai peratusannya yang memohon sijil halal Malaysia berbanding peniaga Melayu Muslim.














