KUALA LUMPUR – Kematian seorang lelaki warga emas yang ditemui hanya tinggal rangka di rumahnya di sebuah pangsapuri di Kepong baru-baru ini bukan hanya mengejutkan ahli keluarga, malah turut menggemparkan seluruh penghuni di kediaman tersebut.
Malah, rata-rata rakan kariah masjid di pangsapuri tersebut menyangka arwah iaitu Ilyaz Atan, 74, telah berpindah ke kampungnya di Johor sejak empat tahun lalu.
Peniaga kedai makan, Cik Neen berkata, arwah merupakan kenalannya sejak tahun 2014 memandangkan gerai jualannya sering dikunjung warga emas itu selepas menunaikan solat fardhu di masjid.
Katanya, perwatakan arwah atau lebih dikenali sebagai Yeh itu masih diingati meskipun kali terakhir melihatnya sekitar empat tahun lalu sebelum wabak Covid-19 melanda.
“Dia (arwah) kami panggil Yeh sahaja, wataknya seorang yang gembira, pembersih, ceria dan sihat. Sebab itu kalau sakit, dia tidak pernah maklum kepada kami.
“Tiga tahun kebelakangan ini, ada rakan yang menyuarakan rasa hairan dan bertanya ke mana agaknya Yeh pergi. Tapi, ada kariah (jemaah masjid) maklum dia sudah berpindah ke Johor untuk balik kampung.
“Kami jadi pelik sebab kalau berpindah, kenapa dia tidak maklumkan apa-apa. Hilang begitu sahaja,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kepong semalam.
Beliau berkata, berita mengenai penemuan arwah yang hanya tinggal rangka itu benar-benar mengejutkan penduduk di kawasan tersebut.
“Arwah selalunya akan singgah minum dan berborak di gerai saya terutama selepas solat fardhu. Saya juga masih ingat yang dia suka makan nasi lauk ikan sardin selain nasi lauk ikan keli.
“Bagaimanapun, sebaik dimaklumkan oleh suami yang arwah sudah jadi rangka, menggigil satu badan. Cukuplah saya
ingat muka arwah ketika dia masa hidup,” katanya.
Tambah Cik Neen, sewaktu majlis pengebumian arwah, rata-rata yang hadir untuk solat jenazah adalah pelajar tahfiz yang pernah diajar oleh Yeh.
“Yeh selalu datang ke madrasah atau tahfiz berdekatan kawasan pangsapuri secara sukarela dan selalu bantu apa yang patut,” kongsinya.
Sementara itu, Timbalan Imam Masjid Amaniah Kepong, Kamarul Azzely Mohamad Kamal berkata, dia bersama ketua imam tidak pernah melihat arwah sejak mula bertugas di masjid tersebut pada November 2020.
Namun katanya, kesungguhan dan minat arwah untuk menabur bakti secara sukarela di masjid berkenaan masih menjadi bualan kariah di kawasan itu.
“Dia (arwah) bukan ahli jawatankuasa masjid tetapi jemaah aktif dan terlibat mengajar kanak-kanak mengaji selain jadi bilal ganti.
“Kariah juga ada beritahu yang arwah pernah memaklumkan untuk pulang ke kampungnya di Johor sebelum menghilang diri. Sebab itu ramai anggap arwah ada di Johor,” katanya.
Kata beliau, arwah selamat dikebumikan dengan bantuan pengurusan masjid di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, di sini.
Kosmo! kelmarin melaporkan, hasrat seorang anak untuk bertemu bapanya selepas empat tahun gagal dihubungi berdepan detik menyayat hati apabila lelaki warga emas itu ditemui dalam keadaan tinggal rangka di sebuah pangsapuri di Kepong, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, rangka tersebut milik pesara lelaki berusia 74 tahun yang mempunyai rekod kesihatan darah tinggi dan pernah menghidap strok.
Jelasnya, pada hari kejadian, pengadu yang juga anak mangsa telah pergi ke kediaman tersebut untuk bertemu lelaki itu.
Katanya, apabila sampai di rumah, pintu dalam keadaan berkunci dan selepas pengadu memecahkan pintu rumah tersebut, pengadu melihat ayahnya telah meninggal dunia dalam keadaan hanya tinggal rangka.














