fbpx
SALAH satu makmal memproses dadah yang berjaya dikesan polis dalam satu serbuan di Ulu Tiram, Johor.

Sindiket dadah semakin canggih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dalam menumpaskan sindiket dan pembongkaran makmal dadah menunjukkan negara berdepan ancaman berat membabitkan bahan terlarang itu.

Mendedah perkara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, kejayaan JSJN meningkat 100 peratus sepanjang tahun 2020 dan ia memberikan gambaran iaitu pasukan berkenaan cekap dalam melaksanakan siasatan dan ba­nyak sindiket serta makmal dadah wujud dalam negara.

Katanya, beliau tidak boleh menafikan ancaman dadah yang dihadapi kini semakin meningkat tambahan pula sindiket dadah yang semakin canggih dalam menghasilkan ratusan jenis dadah sintetik baharu termasuk cara pengedaran.

Jelas beliau, ancaman itu sudah dibangkitkan untuk pengetahuan Majlis Keselamatan Negara serta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kes melibatkan JSJN ini ba­nyak dan lebih 30 keanggotaan diperlukan untuk menyelesaikan sesuatu kes. Banyak kes dibongkarkan tetapi keanggotaan tidak cukup.

“Saya memang berpuas hati dengan pencapaian JSJN tetapi dalam masa yang sama saya minta Jabatan Perkhidmatan Awam meluluskan pengambilan baharu untuk menambah keanggotaan khususnya dalam JSJN,” katanya kepada Kosmo! Ahad ketika ditemui di pejabatnya.

ABDUL HAMID

Dalam perkembangan sama, Abdul Hamid memberitahu dalam tempoh dua hari pada 20 dan 21 Disember lalu seramai 16 individu diberkas terlibat dalam aktiviti memproses dan mengedar dadah dengan nilai rampasan berjumlah lebih RM35 juta.

“Tangkapan dibuat sekitar Pulau Pinang, Johor dan Sarawak membabitkan rampasan dadah jenis syabu, ketamin, pil ekstasi, heroin serta ganja.

“Ini sekali gus menunjukkan kegiatan pengedaran dan memproses dadah aktif dengan pelbagai rangkaian sindiket dalam negara,” ujarnya.

Pada 27 Ogos lalu, Kosmo! melaporkan, polis memerlukan sekurang-kurangnya 16,000 anggota dan pegawai JSJN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN