MELIHAT senyum tawa kanak-kanak dan jiran tetangga yang gembira meraikan sambutan malam kemerdekaan sedikit sebanyak mengubat rindunya ketika bertugas sebagai anggota polis dahulu.
Meskipun sudah lama bersara, Mansor Abdullah, 76, merasakan kehidupan di Jalan 34/10, Taman Koperasi Polis Fasa 2 (TKP 2), Batu Caves, Selangor saling tidak tumpah seperti persekitaran di balai ketika dia masih berkhidmat apabila dia dan petugas polis lain sering mengadakan pelbagai keraian bersama.
Katanya yang menetap di taman itu sejak mula dibuka pada tahun 1985, hubungan akrab sesama jiran tetangga di situ mengingatkannya kepada kesepakatan semasa bersama rakan-rakan polis dahulu.
“Kehidupan di sini amat harmoni, semua jiran saling mengenali dan peduli antara satu sama lain seolah-olah kita adalah satu keluarga besar.
“Apa yang lebih bermakna adalah kesungguhan semua untuk hidupkan kemeriahan di Jalan 34/10 bagi sambutan keraian seperti malam ambang kemerdekaan ini,” katanya ketika ditemu bual K2 pada Majlis Jamuan Menyambut Hari Kemerdekaan di Jalan 34/10, TKP 2 baru-baru ini.
Tambahnya, penganjuran program seumpama itu umpama rencah yang tepat untuk resipi keharmonian antara jiran tetangga.
Tambahan pula usaha meraikan keraian malam kemerdekaan bukan sahaja dapat merapatkan hubungan sesama jiran tetapi secara tidak langsung menerapkan nilai patriotisme terutama buat generasi muda.
Itulah keunikan sebatang jalan di kawasan perumahan di Taman Koperasi Polis 2 apabila kejiranan terlibat akan menyambut ambang kemerdekaan dengan penuh meriah bak hari raya.
Sepanjang jalan akan dihias meriah dengan bendera dan 49 kediaman di jalan tersebut direntangi dengan Jalur Gemilang. Jamuan makan diadakan pada malam itu dan kanak-kanak bermain bunga api sambil bergaya dengan pakaian tema merdeka.
Program jamuan itu merupakan aktiviti tahunan diadakan penduduk di jalan tersebut secara konsisten sejak empat tahun lalu iaitu pada 2021. Ia merupakan idea dan inisiatif tujuh sekawan diketuai Aris Fadilah Sarbin, 54, dan semua mereka penduduk tetap di Jalan 34/10, TKP 2.
Menurut Aris, idea penganjuran sambutan malam kemerdekaan ini sebenarnya timbul apabila dia dan enam orang jiran lain sering melakukan aktiviti bersama-sama.
“Kami sebenarnya sudah lama berjiran tetapi semakin akrab semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2020 lalu dan sejak itu kami banyak lakukan aktiviti bersama-sama.
“Selepas PKP berakhir, kami kekal akrab dan kekal melakukan aktiviti bersama-sama seperti jamuan pot-luck, hari keluarga dan bercuti bersama dengan ahli keluarga masing-masing,” ujarnya.
Tambahnya, menerusi aktiviti tersebut, dia mula mendapat idea untuk melibatkan jiran-jiran tetangga lain.

Kongsinya, pada 2021, dia bersama rakan-rakan lain menganjurkan majlis sambutan malam kemerdekaan yang pertama untuk penduduk di Jalan 34/10, TKP 2 yang mempunyai 49 rumah dengan kira-kira 200 penduduk.
Pemilihan sambutan malam kemerdekaan adalah kerana ia dekat dengan hati masyarakat, selain diraikan oleh seluruh rakyat Malaysia.
“Majoriti penduduk di sini adalah Melayu dengan sebahagiannya adalah India dan Cina, boleh dikatakan kami di sini satu Malaysia.
“Hari Kemerdekaan memberi banyak makna kepada semua orang, jadi meraikannya bersama jiran-jiran bukan sekadar untuk mengeratkan hubungan tetapi juga mendidik anak-anak kami untuk menghargai semangat kemerdekaan bersama-sama,” kata bapa kepada enam cahaya mata itu.
Berkongsi tentang persiapan sambutan kemerdekaan, setiap tahun dia dan rakan-rakan bersama keluarga akan mula merencanakan majlis pada awal bulan Ogos.
Katanya, persiapan akan bermula dengan memasang bendera di sepanjang jalan bagi menyemarakkan lagi sambutan kemerdekaan.
Sehari sebelum ambang kemerdekaan, pihaknya mengadakan pelbagai persiapan seperti kerusi meja, khemah dan pada masa sama memaklumkan kepada semua jiran untuk bersama-sama meraikan malam kemerdekaan secara pot-luck, selain ada masakan yang dimasak bersama.
“Kita tidak mengutip sebarang dana, tetapi ada juga jiran tetangga yang menyumbang wang ringgit dan selebihnya membawa makanan untuk dijamu pada malam sambutan.
“Setiap tahun sambutan semakin meriah, malah kami juga bergotong-royong menyediakan jalan untuk sambutan dan masak bersama,” ujarnya.
Aktiviti bergotong-royong turut dibantu generasi muda, Nur Adam Danish Nur Azman, 20, yang tidak pernah melepaskan peluang pulang meraikan hari kemerdekaan di kejiranannya.
Kongsinya, setiap tahun dia dan rakan-rakan juga akan sama-sama membantu untuk persiapan malam sambutan dan ia sudah menjadi seperti satu budaya di jalan tersebut.
“Saya lebih suka menyambut merdeka di sini (rumah) berbanding ke tempat lain kerana dekat di hati saya, tambahan pula saya di sini bukan hanya bersama keluarga tetapi jiran tetangga yang sangat rapat.
“Pengalaman ini jarang kita jumpa di tempat lain kerana kami di sini raikannya dengan cara kami, kanak-kanak berpakaian tema Malaysia, berkaraoke dan makan bersama serta bernyanyi lagu patriotik bersama setelah tiba detik 12 malam,” ujarnya.
Turut teruja adalah pasangan suami isteri, Rathika Nadarajah, 41, dan Thanapalan Perumal, 48, yang sudah menetap di situ sejak tiga tahun lalu.
Katanya, penganjuran acara itu amat bermakna buatnya yang merupakan penduduk baharu di situ. Ketiga-tiga anak mereka juga setiap tahun akan ternanti-nanti untuk menyambut Hari Kemerdekaan bersama jiran tetangga.
“Sambutan kemerdekaan di sini adalah tanda penyatuan kami dan ia juga memberi pengalaman bermakna buat anak-anak yang lebih memahami erti persaudaraan sesama kaum dan juga makna kemerdekaan,” jelas Rathika.














