JOHOR BAHRU – Seramai 26 mangsa daripada tujuh buah keluarga telah dipindahkan selepas kediaman mereka di Kampung Laut, Batu 10, Skudai di sini dinaiki air akibat hujan lebat yang turun sejak awal pagi.
Komander Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd. Riduan Akhyar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 12.37 tengah hari.
Menurut beliau, seramai 11 anggota beserta dua buah jentera telah dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, didapati beberapa kediaman telah dinaiki air setinggi dua kaki dan paras air masih terus meningkat.
“Sehubungan itu seramai 26 mangsa telah diarahkan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 10, Skudai,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambahnya, mangsa yang dipindahkan termasuklah dua warga emas, empat kanak-kanak dan seorang bayi.-K! ONLINE














