Sudah 67 tahun Malaysia merdeka dan kita ke arah matlamat menjadi negara maju atau First World Country.
Di laman sosial seperti TikTok, meriah paparan pencakar langit, monorel, lebuh raya bertingkat, pusat beli-belah mewah dan infrastruktur moden lain.
Semua ini bagi menepis komen dan tuduhan Mat Saleh yang tidak pernah merantau tetapi memperlekehkan Malaysia sebagai negara Dunia Ketiga.
Sememangnya, kita sudah jauh maju ke hadapan dari segi pembangunan selepas merdeka walau tak setanding China, Jepun atau Korea Selatan.
Terma Dunia Ketiga itu sendiri juga mengalami metamorfosis.
Dahulu, tatkala Perang Dingin, Dunia Ketiga merujuk kepada negara-negara atas pagar yang tidak berpaksikan sama ada Barat (Dunia Pertama) ataupun Kesatuan Soviet (Dunia Kedua).
Kini, terma itu sinonim kepada negara-negara yang mundur, miskin, tanpa kestabilan politik, kadar mortaliti tinggi dan gasang.
Kemodenan fizikal bukan kayu ukur tunggal dalam menilai sama ada negara tergolong dalam kelas negara Dunia Ketiga.
Harus diingat faktor lain seperti budaya, kesopanan, kebersihan, nilai sivik, moral dan integriti juga penting.
Ada negara walaupun maju, rakyatnya tetap tergolong warga Dunia Ketiga.
Negara Barat ada yang maju tetapi rakyatnya pengotor, rasuah berleluasa, kurang timbang rasa dalam masyarakat, manakala rakyat berjiwa keakuan.
Jika rakyatnya begini bagaimana pula pemimpinnya?
Ada negara penduduknya gemar melonggokkan sampah di lokasi papan tanda jangan buang sampah. Membuang sampah merata-rata sudah menjadi kelaziman, hatta ke mana jua mereka merantau, tempat bersih menjadi kotor.
Penduduknya juga suka cop parking terutamanya di kawasan flat dan apartmen. Mereka akan meletakkan kerusi, tong dan bermacam benda lagi untuk memberitahu ‘parkir ini aku yang punya’.
Mereka juga tidak pedulikan peraturan jalan raya, ‘tidak tahu’ menggunakan ‘signal’ dan gemar memotong barisan.
Sekiranya mereka memandu 260 kilometer sejam di lorong kanan lebuh raya, mana-mana kenderaan bergerak lebih perlahan dituduhnya ‘road hogging’.
Bagi mereka, had laju 110 kilometer wujud di atas kertas.
Ada juga negara yang mengambil pendekatan ‘rotan’ atau undang-undang ketat untuk mendisiplinkan rakyatnya.
Cara begini biasanya tidak menjadi. Lihatlah saja jiran kita apabila memandu memasuki negara ini.
Juga lihatlah kelakuan pelancong dari negara sana apabila berada di tempat orang.
Semua ini perlu diubah jika kita mahu keluar daripada mentaliti Dunia Ketiga. Kita semua berhutang dengan anak cucu kita yang akan mewarisi negara ini.
Mari jadikan Malaysia lebih baik buat mereka sekali pun tidak ramai yang memikirkan masa depan negara ini dan jati diri rakyatnya.














