KLUANG – Penduduk di Taman Sri Lambak di sini, tidak menyangka terdapat bom di kawasan perumahan mereka, malah ia penemuan pertama sejak lebih 30 tahun kawasan perumahan itu dibangunkan.
Hassan Paniti, 54, yang tinggal di Jalan Semangat berkata, melihat kenderaan ambulans, pasukan bomba serta polis memasuki Jalan Tabah yang terletak di bahagian belakang telah menimbulkan tanda tanya dan pada mulanya mereka menyangka berlaku kemalangan di kawasan pembinaan.
Bagaimanapun, katanya, selepas lewat petang kelmarin, penduduk dimaklumkan berkaitan penemuan sebutir bom lama dipercayai digunakan ketika perang dunia kedua.
“Selepas itu baru kami tahu ambulans yang memasuki kawasan itu disebabkan dua anggota polis cedera ketika kerja-kerja pemusnahan bom dilakukan.
“Bagaimanapun, kami tidak mendengar sebarang bunyi letupan dan dipercayai belum sempat dimusnahkan akibat daripada kejadian runtuhan tanah sehingga mencederakan dua anggota Unit Pemusnah Bom (UPB) itu,” katanya ketika ditemui semalam.
Ujar Hassan, keadaan itu telah mencetuskan kebimbangan kepada penduduk serta pekerja pemaju perumahan sehingga kerja-kerja pembersihan berhampiran kawasan penemuan bom itu tidak ada sebarang kerja dilakukan semalam.
Jelasnya, mungkin ada lagi bahan letupan lain di kawasan berkenaan kerana bom tersebut dipercayai bom lama yang tidak meletup selepas digugurkan.














