SEGAMAT – Ajaran sesat Millah Abraham didapati telah menghasut pengikut-pengikutnya agar tidak bersembahyang selain mendakwa dunia ketika ini sangat ‘kotor’ dengan pelbagai
isu seperti peperangan dan pembunuhan.
Perkara itu didedahkan seorang pemuda dikenali Mohd. Afham selepas dia menghadiri usrah yang digerakkan kumpulan itu bagi tujuan menyebar dakwah kepada pengikut.
Menurut lelaki itu, dia bukanlah pengikut atau bekas pengikut gerakan Millah Abraham, tetapi nekad mengikuti ‘pengajian’ kumpulan berkenaan untuk melihat sendiri fahaman yang disebarkan.
“Ada satu kenyataan (Millah Abraham) yang saya sedar sudah menyimpang dari ajaran sebenar apabila mereka menyatakan umat Islam tidak perlu solat kerana manusia ketika ini dalam kondisi yang kotor.
“Kotor ini bukan bermaksud rumah kita kotor atau pakaian kita kotor tetapi dunia ini ‘ kotor’ kerana banyak peperangan, rasuah dan pembunuhan.
“Sampai satu waktu bila kita sudah ‘bersih’, baru boleh solat. Bila zaman ‘bersih’ itu? Apabila zaman kebangkitan tiba yang tidak diketahui bila akan terjadi.
“Setelah itu, zaman kebangkitan akan bermula di mana Millah Abraham yang akan menjadi ajaran zaman kebangkitan ketika itu,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Tambah Mohd Afham, sewaktu menghadiri usrah itu, penyampai ajaran tersebut turut memberitahu bahawa ajaran Millah Abraham adalah berlandaskan Al-Quran dan bukannya hadis.
“Hendak kata mereka (Millah Abraham) ini menolak hadis tidak juga dan hendak kata ia menerima hadis tidak juga.
“Mereka (Millah Abraham) kata al-Quran sudah lengkap, jadi tidak perlukan hadis lagi.
“Lebih mengejutkan apabila ajaran Millah Abraham ini menyatakan bahawa zakat, derma dan sedekah tidak patut dilakukan kerana kita sepatutnya bagi ‘joran’ kepada orang dan bukannya bagi ‘ikan’ setiap masa.
“Dalam erti kata lain, kita perlu berusaha sendiri bukanlah sentiasa ‘disuap’ atau meminta bantuan,” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau mengakui pendirian ajaran Millah Abraham itu sangat pelik memandangkan mereka sendiri meminta bantuan ahli.
“Apa yang lucunya apabila mereka arahkan ahli untuk menyumbangkan beberapa peratus pendapatan bulanan kepada ajaran itu supaya duit tersebut boleh digunakan untuk kegunaan gerakan,” kongsinya.
Menurut Mohd Afham lagi, pemimpin Millah Abraham juga mendakwa apabila zaman ‘kebangkitan’ itu tiba, wang berkenaan akan digunakan untuk ‘penghijrahan’ gerakan terbabit.
“Pemimpin Millah Abraham juga berkata, satu hari nanti akan datang seorang rasul atau ‘meseiyah’ yang membawa utusan.
“Saya pernah tanya macam mana kita tahu dia adalah rasul? Pemimpin Millah Abraham itu kata, rasul itu akan membawa al-Quran.
“Saya tanya lagi, kalau ada dua orang yang bawa al-Quran macam mana kita nak tahu yang mana satu (rasul)? Dan pemimpin itu jawab, yang itu nanti kita akan tahu dengan sendirinya,” ujarnya.

Mohd Afham berkata, dia bagaimanapun bersyukur apabila akidahnya masih utuh meskipun telah menghadiri usrah ajaran sesat berkenaan.
“Saya nasihatkan orang di luar agar jauhilah daripada bergaul dengan pengikut serta pemimpin ajaran Millah Abraham ini meskipun orang itu adalah keluarga atau rakan kita sendiri.
“Islam itu mudah dan Allah telah tetapkan semua aturan hidup di dunia dan akhirat dalam al-Quran. Tiada rasul selepas Nabi Muhammad SAW.
“Kepada mereka yang telah sesat dengan ajaran ini, kembalilah ke pangkal jalan kerana tidak masuk akal untuk memperjudikan diri sendiri untuk ajaran yang sesat tiada akidah ini,” kongsinya.
Terdahulu, Kosmo! pada 7 Ogos lalu melaporkan seramai 14 pengikut ajaran sesat Millah Abraham dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Batu Pahat atas 14 pertuduhan mengingkari pihak berkuasa agama dan memiliki bahan penerbitan agama bertentangan hukum syarak.
Kesemua mereka terdiri daripada 11 lelaki dan tiga wanita berusia 30 hingga 70 tahun.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan terhadap semua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Syarie Mohd Syahir Sahab.
Ajaran yang telah difatwakan haram di Johor itu mempunyai kefahaman yang mana ahlinya percaya sembelihan dibuat bukan ahli adalah tidak sah, selain mempercayai kewujudan nabi baru dan mempunyai syahadah berbeza. – KOSMO! ONLINE















