fbpx
UNCLE ANDREW telah menjalankan aktiviti berkebun di sepanjang laluan pejalan kaki berhampiran rumahnya di kawasan kejiranannya sejak 12 tahun lalu.

Taman ‘Uncle Andrew’ perindah laluan pejalan kaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEAWAL pukul 7.30 pagi, kelihatan seorang lelaki warga emas sedang membawa kelengkapan berkebun menuju ke kawasan pejalan kaki yang terletak selang sebuah rumah dari kediamannya dekat lorong 8, Seksyen 8, Petaling Jaya, Selangor.

Setibanya di sana, dia memerhati kawasan pejalan kaki tersebut yang telah dihiasi pelbagai jenis pokok bunga yang sedang mekar sambil menanti pancaran sinar mentari.

Sekilas terasa puas di hatinya melihat landskap hasil jagaan seorang diri sejak 12 tahun lalu masih kekal menghiasi laluan pekalan kaki yang dahulunya hambar dan dihiasi sampah isi rumah, sisa plastik, tin dan botol.

Menurut warga emas, Andrew, 80, inisiatifnya untuk menghiasi laluan pejalan kaki dekat dengan rumahnya itu bermula daripada minat berkebun yang disemai sejak kecil.

“Dahulu, ayah suka bercucuk tanam dan sekali gus menyemai minat saya untuk berkebun, tetapi selepas bekerja aktiviti itu tidak dapat dilakukan kerana kesibukan memenuhi keperluan hidup.

“Namun, selepas bersara daripada menjadi guru pada tahun 2010, saya mula mengisi masa lapang dengan menanam pokok bunga yang disusun di sekitar kawasan beranda dan pagar rumah,” katanya ketika ditemu bual K2 di Petaling Jaya baru-baru ini.

Tambahnya, hasil tanaman pokok di rumah telah mewujudkan satu landskap indah yang pada masa sama mendapat perhatian daripada jiran-jiran terdekat.

Kata lelaki yang mesra disapa Uncle Andrew itu, namun begitu, kerana kawasan rumahnya terhad dia tidak dapat menanam lebih banyak bunga.

Melihat hal itu, jirannya mencadangkan supaya Uncle Andrew memanfaatkan kawasan tanah di sekitar laluan pejalan kaki dan pada tahun 2012 segalanya bermula.

“Saya melihat kawasan pejalan kaki itu sebelum ini amat suram, hanya rumput dan ada sampah yang orang buang merata-rata.

“Bermula dari persimpangan menuju ke rumah, saya mula menanam pokok yang benihnya saya ambil dari rumah dan ada juga diberi oleh rakan serta jiran tetangga,” ujar pesara guru itu.

Kongsi bapa kepada empat cahaya mata itu lagi, dari awal hingga kini, penjagaan dan perapian taman pejalan kaki yang turut digelar sebagai Lavandrew Avenue itu dilakukan seorang diri serta tidak melibatkan sebarang kos.

Antara pokok yang ditanam di sepanjang 75 meter laluan pejalan kaki itu adalah pokok bunga kencana ungu, bunga raya dan beberapa tumbuhan daun hiasan pelbagai warna.

Setiap hari menjadi rutin hariannya membersih dan memperindah kawasan laluan pejalan kaki sepanjang 75 meter itu.

Kesemua pokok yang ditanam juga mudah didapati dan ditanam dengan hanya menggunakan kaedah pembiakan menggunakan keratan.

Malah, ia juga tidak perlu kerap disiram atau dibaja, memandangkan tumbuhan-tumbuhan yang ada hanya bergantung kepada sumber semula jadi seperti air hujan, sinar matahari dan nutrien dari tanah.

Bagi rekaan landskapnya pula, ia diatur sendiri oleh Uncle Andrew di sepanjang dua bahagian pejalan kaki iatu 35 meter laluan ke arah selatan dan 40 meter menuju utara.

“Nama Lavandrew Avenue itu adalah gelaran yang saya sering beritahu untuk menceritakan tentang taman pejalan kaki ini memandangkan kebanyakan pokok di sini adalah pokok bunga berwarna ungu (kencana) yang saya tidak tahu namanya.

“Dan memandangkan warnanya seperti lavender, saya namakan sahaja ia sebagai Lavandrew gabungan nama pokok lavender dan Andrew,” seloroh lelaki asal Ipoh, Perak itu.

Berkongsi tentang rutin yang bukan sekadar hobi tetapi mengisi masa lapang selepas bersara itu, Uncle Andrew mengatakan penjagaan taman pejalan kaki dilakukan olehnya hampir setiap hari.

Seawal pukul 7 hingga 7.30 pagi, dia akan memulakan aktiviti berkebunnya di kawasan rumah sebelum ke laluan pejalan kaki.

Rutin wajib dilakukan olehnya adalah melihat kondisi setiap tanaman, merapikan rumput yang sudah tumbuh panjang hingga menaiki laluan pejalan kaki, membersih dan mengutip sampah di sekitar taman serta menanam pokok baharu jika ada yang sudah mati.

Tanpa jemu, Uncle Andrew akan memastikan tamannya sentiasa rapi dan kemas meskipun masih ada pihak tidak bertanggung jawab yang membuang sampah merata-rata.

“Tujuan saya membuat taman sepanjang pejalan kaki ini bukan sekadar hobi tetapi untuk mencantikkan lagi kawasan komuniti ini dan memberi kesedaran tentang sikap membuang sampah kerana saya melihat rakyat Malaysia akan kurang membuang sisa merata-rata di kawasan yang bertaman dan terjaga.

“Jika dulu banyak sampah ada di laluan pejalan kaki, namun sejak taman ini wujud, orang sudah kurang membuang sampah di sini, malah terasa lebih selamat untuk dilalui terutama oleh penduduk setempat,” jelasnya.

Katanya lagi, ramai yang menikmati keindahan taman pejalan kaki tersebut setiap hari dan melihat senyuman mereka semasa melalui kawasan tersebut sudah memberi kepuasan yang tidak boleh dijelaskan dengan kata-kata.

Uncle Andrew tidak mengharap sebarang balasan, cukup orang ramai sedar bahawa penjagaan dan kebersihan komuniti adalah tanggungjawab bersama.

Selain itu, aktiviti seumpamanya juga merupakan satu rutin yang baik terutama buat warga emas dan pesara sepertinya.

Kongsi Uncle Andrew, mendepani fasa bersara bukanlah suatu yang mudah terutama apabila perlu mengubah kebiasaan setiap hari daripada sibuk kepada tidak berbuat apa-apa.

Dengan berkebun, perubahan fasa itu dapat diadaptasi dengan baik yang mana fokus dapat dipindahkan kepada menanam pokok dan mencipta landskap yang indah dipandang.

Malah, ia pada masa sama menjadikan dirinya aktif sekali gus membantu mengekalkan kesihatan diri meskipun di usia melepasi lapan dekad.

“Semakin kita tua, keupayaan diri juga terhad, semasa awal bersara saya juga kerap melancong, namun semakin meningkat usia diri sudah tidak larat.

“Tetapi bila kita berkebun, di usia sebegini saya masih boleh melakukannya, malah kesihatan mental dan fizikal juga tidak terjejas kerana hasilnya memberikan saya ketenangan,” katanya yang pernah melawat lebih 80 negara di seluruh dunia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN