fbpx
MOHD. AZMAWI (tengah) meraikan kemenangan PRK Dewan Undangan Negeri Nenggiri di Kem Barisan Nasional di Bukit Cekati, Gua Musang kelmarin. Turut hadir Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Muhamad Akmal Saleh.

Lima sebab orang Nenggiri pilih YB Awi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEMENANGAN calon Barisan Nasional (BN) Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri kelmarin menjadi satu signal kepada penerimaan semula BN di kawasan tradisi parti tersebut sejak puluhan tahun lalu.

Mohd. Azmawi menang de­ngan majoriti 3,352 apabila memperoleh 9,091 undi sekali gus menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Mohd. Rizwadi Ismail yang mendapat 5,739 undian.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada tahun lalu, calon Perikatan Nasional, Mohd. Azizi Abu Naim menang dengan majoriti 810 undi dan mengalahkan pe­nyandang kerusi DUN tersebut, Ab. Aziz Yusoff.

Keputusan PRK DUN Nenggiri sudah boleh dijangka sebelum pengumuman rasmi apabila BN menang di empat pos undi Orang Asli dan peti undi pos.

Pensyarah Kanan Sains Politik, Universiti Teknologi Mara, Mujibu Abd. Muis berkata, selain daripada calon yang sudah dikenali, faktor kemenangan Mohd. Azmawi pada pilihan raya itu di­sebabkan peratusan pengundian yang tinggi iaitu 73.88 peratus.

Menurutnya, jumlah itu me­ningkat apabila peratusan undi pada PRN bagi DUN Nenggiri hanya mencatatkan 60 peratus.

“Berdasarkan statistik, peratusan pengundian orang muda pada PRK kali ini juga meningkat. Selain itu, saluran pengundi muda yang mengundi BN me­ningkat di pusat mengundi Felda Perasu dan Limau Kasturi.

“Ramai pengundi muda terutamanya pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sudah berada di kampung halaman mereka kerana sedang bercuti semester ketika ini. Jadi, undi orang muda sememangnya terarah kepada BN,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mengulas lanjut, Mujibu memberitahu, selain itu, strategi BN yang berjaya memujuk Orang Asli untuk keluar mengundi juga menjadi salah satu faktor kemenangan mereka pada PRK Nenggiri.

Menurutnya, Orang Asli sebelum ini dilihat memprotes daripada untuk keluar mengundi pada PRN dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU 15) menyebabkan pe­ratusan mengundi dalam kalangan masyarakat tersebut rendah ketika itu.

“Banyak isu yang dibangkitkan oleh pihak jaringan sebelum ini mengenai isu pembalakan dan tanah kepada Orang Asli sekali gus mempengaruhi mereka agar tidak mahu mengundi.

“Bagaimanapun, BN dilihat mampu memujuk penduduk asal itu untuk keluar mengundi pada PRK kali ini. Pujukan itu tidak sia-sia apabila mereka memperoleh kemenangan yang kukuh di kawasan Orang Asli,” ujarnya.

Dalam pada itu, menurut Mujibu, tindakan Pakatan Harapan (PH) yang memberi kebebasan sepenuhnya kepada BN apabila tidak mencampuri urusan corak kempen semasa PRK turut menjadi faktor kepada kemenangan Mohd. Azmawi.

Katanya, beliau melihat sentimen UMDAP (UMNO-DAP) kurang dimainkan oleh PN sepanjang PRK DUN Nenggiri kerana pemimpin besar PH tidak banyak membantu kempen BN pada pilihan raya kali ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN