JUMAAT lalu, kakitangan awam menerima berita gembira apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kadar kenaikan gaji sekali gus membuatkan ramai tersenyum ceria.
Kenaikan gaji itu hakikatnya bukan sekadar berita baik yang ditunggu-tunggu oleh 1.6 juta penjawat awam, tetapi juga ahli keluarga mereka yang pastinya turut bakal merasai limpah rahmat yang diterima.
Meskipun tidak secara langsung, turut bakal tersenyum riang adalah para peniaga yang pastinya akan juga menerima limpahan kerana pastinya wang tersebut akan kembali berlegar ke tangan mereka sama ada kecil, sederhana atau besar.
Kenaikan gaji berkenaan meskipun dijangka meningkatkan inflasi, namun boleh merangsang perbelanjaan dalam ekonomi negara. Ia boleh meningkatkan permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan dalam pasaran sekali gus memberi kesan positif kepada aktiviti perniagaan dan industri swasta.
Semoga kebaikan yang diterima akan menghasilkan kebaikan yang berterusan kepada seluruh lapisan rakyat dan seterusnya merealisasikan kehidupan yang makmur, aman sejahtera.
Apa yang penting ialah setiap penjawat awam mesti terus meningkatkan keazaman yang tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab mereka setimpal dengan imbuhan yang dizahirkan oleh pucuk pimpinan.
Jumaat lepas juga, penulis terkesan apabila seorang penceramah menarik perhatian mengenai filem karya agung Tan Sri P. Ramlee iaitu Ali Baba dan 40 Penyamun yang menampilkan jenaka bersahaja, namun sarat dengan kritikan sosial yang tajam.
Filem itu bukan untuk menunjuk jari kepada mana-mana kumpulan, organisasi atau badan kerajaan, tetapi kepada diri kita sendiri sama ada sebagai individu, ketua keluarga, ketua jabatan, ketua kerajaan, kakitangan awam atau swasta dalam apa sahaja sektor dan industri.
Apakah kita mahu menjelmakan watak diri sebagai Ali Baba yang pemalas dan mengharapkan ihsan Kassim Baba – orang kaya kedekut dan lintah darat dengan mengenakan bayaran balik dua gantang beras daripada pinjaman segantang beras.
Atau kita adalah salah seorang daripada anggota organisasi bersistematik ‘40 penyamun’ yang bukan sahaja merompak hasil penat jerih orang lain, tetapi pada masa yang sama ‘menyumbang bakti’ membantu golongan kaya lain melarikan diri daripada masalah, tekanan dan tindakan.
Filem tersebut turut menggambarkan ‘Kota Baghdad’ yang pelik dan rumit apabila penjualan hamba yang diamalkan secara terbuka, adegan tabib yang menipu, candu dan ganja boleh dijual secara terbuka, tetapi belacan pula terpaksa dijual secara senyap-senyap.
Selain unsur rasuah, ketidakadilan, tamak, judi, penipuan dan hiburan melalaikan, banyak lagi yang boleh diambil iktibar daripada parodi dan watak-watak dalam filem berkenaan. Satu sindiran dan kritikan yang memerlukan proses penghadaman mendalam untuk kita semua fahami maksud dan tujuannya.
Ali Baba dan 40 Penyamun ternyata berada pada kelasnya yang tersendiri. Filem yang merentas masa dan tidak ditelan zaman. Kita pula berada pada kelas yang mana?














