VERSATIL dan praktikal sinonim disifatkan pada model Mercedes GLB 200 facelift 2024 yang dilancarkan untuk pasaran Malaysia.
Mercedes Benz Malaysia memposisikan kenderaan utiliti sukan (SUV) itu sebagai sebuah kereta keluarga kerana saiznya yang kompak dengan komposisi tujuh tempat duduk.
GLB 200 diberikan gaya baharu yang lebih versatil dan mewah tetapi masih mengekalkan rekaan berkotak dengan bahagian luar terdapat bampar serta apron hadapan rekaan geometri.
Penggayaan kenderaan ini lebih lengkap dengan lampu utama LED High Performance serta Adaptive Highbeam Assist.
Kelainan yang diserlahkan pada GLB 200 terkini ini ialah rekaan gril baharu dengan empat jalur melintang dan lencana bintang tiga Mercedes Benz lebih besar.
Rupa luaran yang didatangkan pada model GLB ini lebih berorientasikan kenderaan off-road, dibentuk ‘kekotak-kotakan’ menguasai segenap sudut terutama lampu hadapan, gril yang besar diikuti dengan pemasangan cladding plastik dan rel bumbung.
Secara asasnya, GLB merupakan SUV kompak pertama dari Mercedes Benz dengan penawaran tiga baris tempat duduk.

Ruang kargo pula menawarkan keluasan 570 liter dan mampu dipertingkat sehingga 1,805 liter, manakala tempat duduk baris kedua pula boleh digerakkan ke hadapan untuk penambahan ruang 190 liter.
GLB 200 diserlahkan lagi melalui penggunaan rim aloi lima jejari berkembar bersaiz 18 inci.
Dari segi kuasa, SUV kompak ini dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 1.3 liter turbo dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan 7G-DCT.
Gabungan enjin dan transmisi itu mampu menghasilkan kuasa maksimum 163hp dan tork maksimum 270Nm.
Sekadar makluman, model ini boleh memecut dari pegun sehingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 9.3 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 207 km/j.
Meninjau ke ruangan kabin, GLB 200 dilengkapi skrin berkembar bersaiz 10.25 inci dengan sistem infotainment MBUX generasi NTG7 terkini dan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar serta Intelligent Voice Assistant.
Perincian lain GLB 200 termasuklah port pengecasan USB jenis C dengan kuasa pengecasan dipertingkat dan sistem pencahayaan ambien 64 warna serta kawalan iklim automatik.
Aspek keselesaan menjadi elemen utama jenama mewah ini dengan tempat duduk pada GLB 200 dibalut material kulit buatan Artico berwarna kelabu.
Stereng GLB 200 turut dilengkapi butang sesentuh pada kiri dan kanan untuk memudahkan kawalan konfigurasi.
Pada padangan penulis, model kenderaan ini amat praktikal, walaupun dari segi luaran saiznya nampak agak besar meski kompak tetapi pemanduannya mudah kendalikan kerana dilengkapi sistem canggih.
Antara ciri-ciri itu seperti Active Parking Assist dengan Parktronic yang membantu pemandu untuk parkir kenderaan ini.
Sistem itu berfungsi apabila sensor di bumper membantu untuk menentukan kenderaan supaya dapat masuk ke tempat parkir.
Kesimpulannya, SUV mewah ini duduk di kelas pertengahan antara GLA dan GLC yang mana model ini disasarkan kepada golongan berkeluarga dengan rekaan menarik dalam kelas B.
Ia sinonim untuk pemanduan harian keluarga dengan kapasiti maksimum tujuh tempat duduk yang pasti memberi keselesaan.
Untuk harga, Mercedes Benz GLB 20 facelift 2024 boleh dimiliki pada harga RM290,888 (atas jalan tanpa insurans).














