fbpx
Golongan peniaga diingatkan agar tidak menaikkan harga jualan sesuka hati ekoran pengumuman gaji kakitangan awam hari ini

Peniaga jangan suka-suka hati naikkan harga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Golongan peniaga diingatkan supaya tidak menaikkan harga barangan keperluan susulan pengumuman kenaikan gaji melibatkan kira-kira 1.6 juta penjawat awam hari ini. Rata-rata orang ramai meluahkan rasa bimbang sekiranya terdapat penjual yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan terutama makanan ekoran kenaikan gaji tersebut.

Orang ramai menggesa pihak berwajib supaya memantau perkara itu bagi mengelakkan ada pihak menangguk di air keruh susulan pengumuman berita gembira tersebut.

Seorang guru, Hamidah Bahrom, 43, berkata, dia menghargai usaha kerajaan menaikkan gaji bagi meringankan beban kakitangan awam dan meningkatkan taraf kewangan golongan itu.

“Namun, jangan ada pihak yang ambil peluang dengan menaikkan harga barang atau caj jualan. Kami diberikan gaji se­timpal dengan kerja. Kenaikan gaji ini juga dapat membantu me­ningkatkan kedudukan kewa­ngan penjawat awam.

“Jika peniaga menaikkan harga barang, susahlah kami. Jadi saya harap pihak berkaitan dapat memantau peniaga tamak dan menyusahkan pengguna,” katanya kepada Kosmo!.

Sementara itu, kerani, Ha­yati Abdullah, 39, merayu peniaga agar tidak menaikkan harga barangan sesuka hati memandang­kan kenaikan gaji itu hanya melibatkan penjawat awam, bukannya pekerja swasta.

“Tidak adil jika ada peniaga tanpa rasa tanggungjawab menaikkan harga jualan mereka dengan alasan gaji penjawat awam naik, sedangkan kami (swasta) masih terikat dengan gaji di bawah RM2,000 sebulan.

“Saya percaya jika harga barangan keperluan akan naik lagi selepas ini, ramai yang akan terkesan dengan situasi tersebut,” ujarnya.

Seorang pengguna yang mahu dikenali sebagai Shahrul pula berkata, hari ini merupakan detik yang paling dinanti-nantikan oleh seramai 1.6 juta kakitangan awam di seluruh negara, namun enggan ia ‘dicemari’ dengan kenaikan harga barangan keper­luan terutama makanan.

“Esok (hari ini) (pengumuman) gaji pekerja kerajaan naik, jangan pula lusa harga barang meningkat,” kata lelaki itu.

Seorang wanita, Nur Haya­ti pula meminta pihak yang berkaitan supaya memantau premis jualan yang mengambil kesempatan menaikkan harga jualan bermula esok.

Golongan pekerja swasta di negara ini juga meluahkan kebimbangan mereka mengenai kenaikan harga bara­ngan susulan pengumunan itu.

Seorang pengguna dikenali sebagai Abdullah meminta pihak berkaitan supaya memantau perkara tersebut.

“Harap pihak kerajaan dapat memantau kedai dan pasar raya supaya tidak berlaku kenaikan harga barang susulan pengumuman kenaikan gaji penjawat awam esok (hari ini),” kata lelaki tersebut.

Kosmo! semalam melaporkan, hari ini menjadi hari bahagia buat lebih 1.6 juta penjawat awam apabila pengumuman yang ditunggu-tunggu selama ini mengenai kenaikan gaji akan dibuat Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Setiap penjawat awam sebelum ini mendapat gambaran umum peningkatan gaji masing-masing yang dijangka bermula 15 hingga 42.7 peratus, namun hari ini mereka sudah boleh membuat kiraan kadar gaji baharu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN