fbpx
Gambar hiasan

Wartawan sebenar hanya lapor berita sahih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

WARTAWAN merupakan individu yang memberitakan atau melaporkan tentang sesuatu perkara atau peristiwa berdasarkan maklumat yang tepat.

Ia menjadi satu kesalahan jika seorang wartawan melanggar Kod Etika Kewartawanan dengan mendapatkan berita tidak tepat atau memperoleh maklumat dari sumber yang tidak sahih.

Kerjaya sebagai wartawan adalah menekankan ciri-ciri kejujuran serta tanggungjawab kepada masyarakat bagi mengelak sebarang konflik.

Bagi pengalaman penulis, sumber merupakan individu paling berharga dalam menghasilkan sebuah berita bagi menarik minat masyarakat untuk membacanya.

Penulis merasakan penulisan yang dihasilkan daripada maklumat yang sahih dan sumber yang betul masih relevan serta boleh diguna pakai dalam membuat artikel.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil baru-baru ini berkata, wartawan mempunyai hak untuk melindungi kerahsiaan sumber berdasarkan Kod Etika Kewartawanan yang diamalkan di negara ini.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan tindakan pihak berkuasa memanggil dan merakam percakapan wartawan dalam isu yang berlaku baru-baru ini bukanlah bertentangan dengan hak tersebut, memandangkan polis menjalankan tugas berdasarkan laporan.

Penulis juga bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Komunikasi yakni, sebagai seorang wartawan, kita juga mempunyai hak melindungi sumber dari menerima sebarang ancaman yang tidak diketahui di masa akan datang.

Dalam Kod Etika Kewartawanan ada menyatakan wartawan perlu cakna terhadap prinsip privasi dan kerahsiaan sumber kerana boleh menyebabkan keselamatan sumber terancam sekiranya hak ini tidak dihormati.

Kod Etika Kewartawanan itu juga turut menyebut, walau bagaimanapun, jika terdapat sebab yang kukuh atau demi kepentingan awam, media hendaklah membuat pertimbangan berdasarkan keperluan masyarakat untuk mendapatkan maklumat berbanding kemungkinan berlaku kemudaratan terhadap sumber tersebut.

Penulis yakin kebanyakan wartawan, terutama dalam media arus perdana, merupakan insan yang jujur, mementingkan kebenaran serta menyampaikan maklumat tepat dalam laporan mereka.

Sementara itu, Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, wartawan mempunyai hak merahsiakan sumber ini sebahagian aspek membentuk persefahaman antara pengamal media dan sumber.

“Bagaimanapun, wartawan perlu tertakluk kepada elemen perundangan supaya perkara-perkara berkepentingan atau keselamatan negara diberi keutamaan.

“Ini adalah sejajar dengan dasar keselamatan negara untuk mewujudkan konsep keselamatan menyeluruh,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Jelasnya, wartawan tidak seharusnya dikekang dan semua pihak perlu faham tugas serta peranan mereka dalam menyampaikan sesuatu penceritaan kepada masyarakat.

“Hak kebebasan bersuara wartawan juga harus diberi satu bentuk pertimbangan bagi memastikan wartawan dapat terus bebas melapor dan memberi maklumat telus kepada masyarakat,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN