ALOR GAJAH – Teka-teki berhubung identiti mayat tanpa kepala, kaki dan tangan yang dijumpai dalam tong sampah di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang di sini, pada Disember tahun lalu terjawab selepas disahkan sebagai Istiqomah Ahmad Rozi, 33.
Mangsa yang merupakan guru Sekolah Kebangsaan Kota Masai 3, Johor dibunuh kejam apabila mayatnya dikerat kepada beberapa bahagian.
Ibu kepada tiga anak berusia 9, 6 dan 4 tahun itu disyaki dibunuh di Johor sebelum mayatnya dibuang di beberapa lokasi di Melaka kerana berselisih faham mengenai pelaburan forex.
Mangsa mengenali suspek berusia 37 tahun yang juga kenalannya ketika menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi dan mereka berurusan dalam pelaburan forex.
Sumber berkata, suspek yang tinggal di Chemor, Perak dipercayai meminta mangsa menggandakan pelaburan, namun wanita itu enggan kerana tidak mendapat pulangan seperti yang dijanjikan.
Selepas itu berlaku perbalahan antara mangsa dan suspek sebelum lelaki itu dipercayai mengambil gelang emas mangsa bernilai RM20,000 da membunuh Istiqomah.
“Badan mangsa dikerat dan dibuang secara berasingan. Tangan dan kaki si mati dipercayai dibuang di kawasan Bemban, Jasin, manakala badan dan kepala wanita itu pula dibuang di dua lokasi di Alor Gajah.
“Setakat ini hanya badan dan kepala mangsa (tengkorak) yang dibungkus dalam plastik dijumpai di Alor Gajah,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Menurut sumber itu, usaha mencari tangan, kaki dan gelang emas yang sudah dijual sedang giat dijalankan.
Difahamkan, suspek dan mangsa pernah beberapa kali bertemu sebelum ini atas urusan berkaitan pelaburan.
Suspek berhenti kerja sebagai guru dan terlibat sepenuhnya dalam urusan pelaburan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah memberitahu, laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) pada 2 Ogos lalu mendapati ia sepadan dengan ibu Istiqomah.
“Hasil ujian DNA didapati ia sepadan dengan mayat wanita yang dijumpai dalam keadaan tidak sempurna di Pulau Sebang pada Disember tahun lalu. Mangsa dilaporkan hilang di Johor pada 27 Disember lepas.
“Kita percaya suspek dan mangsa berhubung bagi membincangkan pelaburan Forex,” katanya kepada pemberita semalam.
Susulan kejadian itu, polis memberkas suspek dan isterinya yang berusia 36 di sebuah rumah Chemor.
“Siasatan yang dijalankan ke atas pasangan suami isteri itu membawa kepada penemuan sebahagian lagi anggota badan milik mangsa.
“Polis menjumpai tulang jari dan kepala mangsa kira-kira lima hingga enam kilometer dari lokasi penemuan badan si mati pada Disember tahun lepas,” kata beliau.
Pasangan tersebut ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Namun, pada hari ini (semalam) hanya suspek lelaki yang disambung reman sehingga 19 Ogos ini kerana kita percaya isterinya tidak terlibat dalam jenayah kejam ini,” katanya.
Berita mengenai kehilangan Istiqomah tular di media sosial selepas mangsa dikatakan tidak pulang ke rumahnya setelah keluar bekerja.
Kereta dan kunci kenderaan itu dijumpai di kawasan sekitar pasar raya Lotus Kota Masai pada pukul 2 petang, 27 Disember lalu.
Kosmo! pada 6 Januari lalu melaporkan mayat wanita tanpa kepala, kaki dan tangan dijumpai dalam tong sampah di dalam longkang di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang.
Mayat mangsa dibuang di tepi jalan raya kira-kira 100 meter dari sebuah rumah kosong.
















