PASIR SALAK – Permintaan tinggi terhadap durian kampung bukan semata-mata kerana harganya yang murah, tetapi raja buah jenis itu turut mempunyai banyak ‘gas’ yang tinggi karbohidrat, serat, lemak, protein dan antioksidan.
Seorang penjual durian di Kampung Gajah di sini, Zaidah Mohd Razali, 41, berkata, walaupun terdapat lambakan buah durian kahwin dan premium, durian jenis kampung tetap mendapat permintaan dari pelanggan.
“Ramai suka durian kampung kerana harganya yang murah iaitu sekitar RM6 hingga RM15 sekilogram berbanding durian premium seperti musang king dan duri hitam.
“Namun, ramai juga yang menyukai durian kampung kerana buah jenis itu memiliki kandungan ‘gas’ yang tinggi dan enak untuk dimakan,” katanya yang mendapat bekalan durian kampung dari Gopeng dekat sini.
Katanya, durian kampung tidak muak dimakan selain mempunyai isi yang banyak dan biji yang lebih kecil.
“Biasanya jika makan durian kahwin dan premium ini, dua ulas sudah kenyang tetapi jenis kampung ini seorang makan sebiji pun tidak mencukupi.
“Saya fikir ramai yang akan mula berubah kepada durian kampung berbanding durian kahwin kerana buah jenis ini memang mempunyai keunikan yang tersendiri,” katanya.
Ujarnya, lebih lama usia pokok durian kampung, maka rasanya juga akan menjadi lebih sedap.
“Dahulu, orang kampung tanam pokok durian tanpa gunakan racun selain bajanya pula dari sumber semulajadi. Lokasi pula biasanya berdekatan sungai serta kawasan berbukit.
“Itu yang jadikan kualiti duiran kampung terjaga. Kata orang-orang lama, punca buah durian banyak ditebuk tupai dan berulat adalah disebabkan rasanya yang manis dan berlemak,” katanya.














