PETALING JAYA – Seorang remaja perempuan yang baru berusia 14 tahun bertindak licik apabila berjaya menyamar sebagai doktor di Hospital Sultan Idris Shah Serdang, Serdang selama kira-kira dua bulan tanpa disedari petugas lain.
Lebih hebat apabila remaja yang berbadan kurus terbabit mempunyai pas kerja dan mampu mengakses komputer selain turut membuat rondaan di wad-wad hospital berkenaan, persis seorang doktor sebenar.
Menurut sumber, sepanjang dua bulan berada di hospital tersebut, remaja terbabit pandai berlakon sebagai pegawai perubatan pediatrik dengan merawat para pesakit serta memberi ubat-ubatan.
Katanya, remaja terbabit memasuki Hospital Sultan Idris Shah Serdang kononnya datang dari hospital kerajaan berhampiran bagi melengkapkan syarat untuk menjadi seorang doktor pakar.
“Selasa lalu, dia minta untuk memasuki dewan bedah dan mahu menjadi pembantu doktor pakar bedah.
“Jadi apabila dia masuk, kakitangan lain sangsi dengan kehadiran remaja terbabit dan menghalaunya keluar dan panggil pengawal keselamatan untuk kepung remaja itu,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Sumber memberitahu, doktor palsu itu bagaimanapun berjaya melarikan diri, namun remaja terbabit berani datang semula ke Hospital Sultan Idris Shah Serdang kelmarin.
“Pengawal keselamatan jumpa doktor palsu itu di surau hospital dan tanya buat apa? Mana pas kerja? Tetapi dia cakap pas kerja hilang.
“Pengawal keselamatan ketika itu tidak syak apa-apa lagi dan minta remaja terbabit buat pas kerja, namun tidak datang-datang juga,” ujarnya.
Bagaimanapun, kegiatannya terbongkar selepas remaja itu membuat aduan di bahagian keselamatan dan kesihatan pekerjaan hospital kononnya telah menjadi mangsa gangguan seksual.
Siasatan mendapati, aduan tersebut adalah palsu dan pengadu didapati telah menyamar sebagai doktor selepas identitinya tiada dalam senarai kakitangan hospital berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof pula mengesahkan telah menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
Katanya, siasatan dilakukan berdasarkan laporan yang dibuat di Balai Polis Dato Abu Bakar Baginda, Kajang.














