PETALING JAYA – Seorang pemilik rumah kerugian kira-kira RM20,000 apabila unit apartmen yang disewa kepada seorang lelaki gagal dibayar selama 16 bulan.
Lebih menyedihkan apabila individu berkenaan juga tidak melunaskan sebarang tunggakan melibatkan bil penyelenggaran, elektrik serta air.
Pemilik rumah yang juga Ketua Urusetia Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak, Mohd. Rawi Abdullah berkata, apa yang mengejutkan apabila rumah berkenaan sebenarnya bukan didiami oleh penyewa berkenaan, tetapi dipercayai telah dijadikan sebagai tempat tinggal kira-kira 10 wanita warga asing.
Katanya, unit apartmen yang terletak di Desa Tambun itu dikenakan bayaran sewa bulanan sebanyak RM1,200.
“Nombor akaun (untuk pembayaran) telah diberikan kepada lelaki itu, namun setiap kali saya hubungi dia sama ada telefon atau WhatsApp, dia langsung tak jawab.
“Keadaan itu menyebabkan saya hilang sabar dan saya putuskan untuk ke sana pada Sabtu lalu. Lelaki itu tiada, tapi ada banyak selipar di luar rumah. Rupanya ia didiami oleh ramai wanita asing,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Mohd. Rawi berkata, dia menemui seorang wanita di dalam rumah berkenaan, manakala penghuni lain dipercayai telah turun ke bawah.
“Rumah itu juga telah ditukar kunci. Semasa saya sampai dan periksa, keadaan lantai dan rumah dalam keadaan bersih, cuma dua meja solek telah rosak,” ujarnya.
Katanya lagi, dia telah membuat laporan kepada pihak polis di Balai Polis Tambun kira-kira dua minggu lalu sebagai perlindungan kepada dirinya.
“Kes begini memang banyak berlaku. Rumah disewa kepada penyewa lain, tetapi yang tinggal di situ pula orang lain. Ada yang buat sewa atas sewa.
“Sebelum ini saya uruskan kes orang, mereka buat aduan kepada saya. Tapi kali ini, saya pula yang terkena. Apa yang penting, saya mahu mereka semua keluar dari rumah itu,” katanya.














