fbpx
KOSMO! pada 29 Februari 2008 pernah menyiarkan kisah cinta Jay Jay dan isterinya, Zaitoon yang bermula hanya sebagai peminat dan artis sehinggalah Ahad lalu mereka terpisah oleh ajal.

Intuisi cinta Jay Jay bawa ke mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MASIH basah barangkali taburan bunga-bunga menghiasi laman rumah baharunya, masih merah juga tanah pusarannya. Ketika ini, orangnya sudah tidak lagi boleh kita santuni dengan tepuk sorak, yang tinggal hanya nama, suara dan budi baiknya mampu kita sanjungi.

Kita berperi tentang kebaikan dan budi bakti. Tentang orang yang telah mati, yang dikenang lazimnya segala ramah dan hemah sikap sewaktu hayatnya masih dikandung badan.
Kenapa?

Kerana itulah yang dikatakan penghormatan bukan. Selain doa, hanya menerusi penulisan dapat kita luahkan dan hari ini ingin setitis lagi daripada selaut kebaikan Allahyarham Ahmad Fauzi Darus atau Jay Jay sekali lagi ingin dikongsikan.

Sudah berpuluh, beratus, beribu barangkali hal-hal baik sepanjang hayat Jay Jay berputar semula dari banyak sudut pandangan kenalan, keluarga taulan dan penulis sendiri ada sebuah kisah terakam jauh sekitar 2008 silam bersama Allahyarham.

Ketika hampir semua orang termasuk sifu muzik tanah air, Datuk M. Nasir dan kawan-kawan seangkatan zaman, Datuk Hattan, Datuk Nash, Datuk Ramli Sarip bukan sahaja memuji bahkan memuja pekerti arwah seperti mana selayaknya saat bercakap tentang si mati, ada tawa kecil bergumam diam-diam tersekat dalam kerongkong saat terkenangkan momen wawancara bersama arwah.

Bagaimana penulis terasa ’berat’ disebabkan terpaksa ‘kontrol ayu’ seharian dari tengah hari berlanjutan hingga ke senja menadah telinga mendengar segala cerita lama membedah isi perut kritik sosial beliau berhubung senario dunia muzik, semua itu terasa terlalu sarat.

Hidangan roti jala berlauk sambal sardin dan kari ayam air tangan isterinya Zaitoon Wahid juga menyempurnakan tugasan, bukan sahaja kepala, malah perut terisi sendat.

Ketika itu, penulis baru mengenal pena, baru tujuh tahun masuk industri, belum cukup akrab untuk bersantai-santai secara alami menyusun segala tingkah menemuramah seorang Jay Jay, pemilik vokal lunak Belaian Jiwa, lagu wajib karaoke dulu-dulu.

Lebih seram, bukan pencapaian diskografi seni dari zaman Carefree hinggalah Joget Angan Tak Sudah (1990-an) yang menjadi fokus pertemuan. Ibaratnya berjam-jam duduk bersimpuh membawa watak profesional membangkitkan riwayat seorang Jay Jay, barulah topik paling peribadi, bagaimana cinta terhadap Zaitoon berputik berputik ditarik masuk dalam perbualan.

Biarpun hajat berkunjung ke kediaman beliau di Bandar Sunway (ketika itu) bagi memenuhi tuntutan kolum wajib bertajuk Intuisi Cinta yang bercakap soal kesejatian cinta kendalian penulis sudah awal-awal dimaklumkan, perasaan seram tetap menjalar.

Dia Jay Jay! Bahkan sehingga detik itu, arwah ada menyebut, itu kali pertama beliau dan isteri bersetuju membuat fotografi di rumah mereka, itu pun tanpa anak-anak.

Lama dan hampir lupa tarikh siaran, namun rakaman kenangan tersebut akan basah dalam ingatan. Untuk Jay Jay dan Zaitoon, cinta mereka berputik dari sebuah lokasi konsert.

Bermula daripada peminat yang sanggup panjat pagar mahu bersapa dengan Jay Jay, jodoh cinta mereka dibawa mati. Semoga kecintaan kita semua juga berakhir sempurna dan selayaknya. Al-Fatihah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN