Sijil akademik palsu dijual ribuan ringgit di media sosial.

Sudahlah menipu, menyusahkan pula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Minggu lalu selama empat hari berturut-turut akhbar Kosmo! menyiarkan pendedahan mengenai aktiviti penjualan sijil akademik palsu di media sosial.

Bermula daripada sijil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sehingga Doktor Falsafah (PhD) yang dijual mencecah harga RM4,000.

Aktiviti itu dilakukan secara terbuka di platform media sosial walaupun ia menyalahi undang-undang sama ada kepada penjual dan pembeli. Malah majikan juga bakal berdepan tindakan sekiranya mereka mengetahui aktiviti penipuan tersebut.

Pendedahan itu menunjukkan betapa mudahnya orang buat duit pada zaman sekarang.

Sehelai kertas yang sederhana tebal dicetak menggunakan logo Kementerian Pendidikan (KPM) bagi sijil SPM dan logo universiti tertentu yang modalnya tidak seberapa, tetapi dijual sehingga mencecah ribuan ringgit kepada mereka yang terdesak memerlukan kerja atau mahu naik pangkat.

Bukan tidak ada pekerjaan bagi mereka yang tiada sijil akademik, malahan banyak. Namun sikap pentingkan diri dan tamak kerana mahu bekerja di tempat pendingin hawa dan kerusi empuk mereka sanggup menipu.

Paling banyak dibeli adalah ijazah sarjana muda.

Jika ditanya kepada pembeli mereka tahu perbuatan itu salah dan takut terkantoi, tapi apa pilihan yang mereka ada selain tutup mata.

Jika beli sijil akademik palsu, mereka dapat menjimatkan masa dan duit. Tidak perlu ke kelas, bayar yuran setiap semester itu tidak termasuk perbelanjaan lain sepanjang pengajian tersebut.

Mereka juga tidak perlu pening kepala memikirkan tentang tugasan yang perlu disiapkan untuk diserahkan kepada pensyarah selain mencari bahan pembentangan.

Tetapi mereka tidak sedar kadangkala membeli sijil palsu ini menyusahkan terutama rakan sepejabat seperti yang didedahkan seorang pembeli baru-baru ini bahawa dia perlu menebal muka belajar dengan rakan-rakan kerana tidak menuntut ilmu secara formal.

Ketika ini adik-adik lepasan SPM sedang sibuk mendaftarkan diri di universiti dan kolej untuk menyambung pengajian.

Penulis teringatkan adik Lim. Kisah tentang kegigihan seorang remaja lelaki dari Batu Pahat, Johor sanggup menaiki bas seorang diri datang ke Pulau Pinang untuk menyambung pengajian di Politeknik Balik Pulau.

Tanpa ditemani ahli keluarga atas faktor kemiskinan dia menyahut cabaran tersebut walaupun itu kali pertama Lim menjejakkan kaki di Pulau Mutiara.

Kisah anak muda ini mendapat perhatian ramai apabila dia turun di stesen salah, tertukar bagasi, terpaksa datang awal sebab tiket bas habis namun itu semua yang memberi pengajaran berguna buat Lim.

Tetapi apabila ada pihak yang sewenang-wenangnya membeli sijil akademik untuk mendapatkan kerja dan naik pangkat, itu memang tidak adil.

Memetik kata-kata seorang pengguna media sosial tahap pendidikan akan mempengaruhi cara seseorang itu berfikir.

Cara berfikir dan hala tuju mereka berbeza. ‘Point’ percakapan mereka juga berbeza. Kerana itu pentingnya untuk memiliki ilmu bukannya ‘sijil segera’.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN