PETALING JAYA – Menggunakan sijil atau ijazah palsu untuk mendapat pekerjaan merupakan salah laku pekerjaan yang berat dan satu kesalahan jenayah.
Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, ini kerana pekerja tersebut tidak akan berupaya melakukan pekerjaan yang diberi memandangkan mereka tidak memiliki ilmu selain kemahiran yang diiktiraf.
“Sekiranya seseorang itu diambil bekerja berdasarkan sijil atau ijazah palsu, pekerja itu sebenarnya telah melakukan kesalahan besar yang boleh dikenakan hukuman berat selain dibuang kerja.
“Penggunaan sijil atau ijazah palsu juga adalah kesalahan jenayah dan boleh didakwa di bawah Kanun Keseksaan dengan tertentu,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Beliau berkata, penggunaan sijil atau ijazah palsu ini hendaklah dipandang serius oleh semua pihak.
Menurutnya, semua pihak juga perlu mengelakkan diri mereka daripada menggunakan sebarang jenis dokumen palsu dalam kehidupan mereka.
“Majikan hendaklah memainkan peranan mereka dengan meneliti segala dokumen, sijil atau ijazah yang dikemukakan pemohon kerja.
“Bahagian sumber manusia di setiap sektor pekerjaan perlu menjalankan proses pengesahan teliti terhadap semua jenis dokumen, sijil atau ijazah yang dikemukakan pemohon kerja untuk memastikan setiap dokumen, sijil atau ijazah yang dikemukakan adalah asli,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Muzaffar Syah Mallow berkata, kesalahan penggunaan sijil atau ijazah palsu ini boleh dianggap sebagai salah satu kesalahan jenayah dan boleh disiasat dan didakwa dibawah Kanun Keseksaan (Akta 574).
“Antara seksyen yang boleh dipertimbangkan untuk digunakan bagi tujuan siasatan dan pendakwaan sebarang kes yang melibatkan jenayah pemalsuan sijil ataupun dokumen ini adalah Seksyen 463 Kanun Keseksaan [Akta 574].
“Seksyen 465 Kanun Keseksaan [Akta 574] pula memperuntukkan hukuman terhadap kegiatan jenayah pemalsuan ini dengan menyatakan bahawa ‘barang siapa melakukan pemalsuan hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya,” katanya.
















