PENYAKIT buah pinggang kronik (CKD) kini menjadi satu perkara yang membimbangkan, malah jumlah pesakit semakin bertambah dengan satu dalam tujuh dewasa di Malaysia berhadapan masalah itu.
Pakar Perunding Nefrologi dan Pemindahan Buah Pinggang di Pusat Perubatan Sunway (SMC) Dr. Wong Hin Seng berkata, CKD adalah satu keadaan di mana fungsi ginjal tidak akan sembuh dan mungkin terus rosak sehingga tahap yang memerlukan dialisis atau transplan.
Menurutnya, strategi rawatan CKD adalah untuk memperlahankan kerosakan ginjal supaya tidak perlu menjalani dialisis.
“Tetapi meskipun semua strategi rawatan telah digunakan, ada keadaan buah pinggang pesakit masih terus rosak sehingga tahap akhir.
“Pada masa ini, dialisis adalah salah satu rawatan yang dapat membantu mengeluarkan bahan-bahan kumur daripada badan dengan menggunakan mesin,” katanya.
Namun begitu, dialisis hanya dapat menggantikan fungsi ginjal antara 10 hingga 15 peratus.
Oleh itu, Dr. Hing Seng menegaskan, transplan buah pinggang adalah rawatan terbaik untuk kegagalan ginjal tahap akhir.
Terangnya, transplan buah pinggang amat disokong kerana secara teori ia akan menggantikan 50 peratus fungsi ginjal.
“Malah kualiti hidup pesakit yang menjalani transplan juga akan bertambah baik dan mereka boleh hidup normal.
“Sumber buah pinggang untuk transplan adalah melalui pendermaan organ orang masih hidup dan telah mati otak,” jelasnya.
Oleh kerana buah pinggang amat berharga, ada yang menjual organ mereka.
Malah, baru-baru ini Kosmo! juga melaporkan ada individu sanggup menjual buah pinggang mereka kerana desakan hidup.
Namun begitu, proses untuk itu bukan mudah kerana saringan dan pemeriksaan yang komprehensif akan dilakukan terlebih dahulu bagi memastikan penderma kekal sihat dan dapat hidup normal.
Malah, Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu hantaran di Facebook menyatakan bahawa segala bentuk eksploitasi pemindahan organ manusia adalah salah di sisi undang-undang.
Proses pemindahan organ hanya boleh dilaksanakan setelah menepati kriteria dan mendapat kebenaran bertulis daripada waris berdasarkan Akta Tisu Manusia 1974.
Dalam pada itu, Pengurus Klinikal Pendermaan Organ Kebangsaan Kanan, Pusat Sumber Transplan Nasional, Dr. Hasdy Haron berkata, proses pemindahan organ bukanlah semudah yang disangka.
“Pesakit perlu mendapatkan penderma sesuai sebelum dirujuk ke pakar untuk dibawa kepada pihak menguruskannya menerusi KKM.
“Banyak perkara diambil kira seperti perubatan, psikologi dan unsur mencurigakan bagi mengelakkan jual beli secara komersial antara pesakit dan penderma sebelum pemindahan dilakukan,” ujarnya.
Tambah Dr. Hasdy, jual beli organ tidak dapat dinafikan kerana pesakit dan penderma boleh menipu selain mereka boleh melakukannya di luar negara untuk mengelak dikenakan tindakan.














