TANAH MERAH – Seorang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 terpaksa menolak tawaran untuk menyambung pengajian ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan memilih Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Kota Bharu kerana faktor kemiskinan.
Sebelum itu tawaran UiTM Dungun, Terengganu terpaksa ditolak kerana jarak kampus itu jauh dari keluarga kerana bapanya Mohd. Rafi Ramli, 54, sakit lumpuh kedua-dua belah kaki selain cacat penglihatan akibat terbabit kemalangan motosikal lebih empat tahun lalu.
Akmawatie, 18, berkata, dia tiada pilihan lain apabila perlu membuat keputusan menolak tawaran pengajian ke UiTM pada 7 Julai lalu kerana ibu bapanya tidak mampu menanggung dia dan kembarnya sekali gus untuk ke sambung belajar.
Kembarnya, Mohd. Akmarizal, dapat melanjutkan pengajian Diploma Kejuruteraan Mekanikal di Politeknik Kota Bharu pada Sabtu ini dengan bantuan seorang wanita yang memberikan wang RM1,000 untuk pendaftaran belajar.
“Sebelum kisah kami tular, saya menolak tawaran UiTM Dungun, selepas itu saya dihubungi oleh pihak KPTM Kota Bharu yang berhasrat taja pengajian dalam jurusan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak.
Saya akan daftar pengajian November depan,” ujarnya.
Akmawatie memberitahu, jauh di sudut hati dia mahu bersama-sama kembarnya itu melanjutkan pelajaran ke menara gading selepas SPM.
Kata ibu Akmawatie, Zuraida Abdullah, keluarganya ketika ini hanya bergantung kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM750 untuk perbelanjaan tiga lagi anaknya yang masih sekolah dan tidak mampu untuk kos pengajian lain lagi.
“Syukur ada pihak yang sudi bantu untuk dua anak kembar saya dapat sambung pelajaran,” jelasnya.
“Saya memerlukan belanja lebih RM1,000 sebulan untuk membeli lampin pakai buang untuk suami. Sewa rumah RM250 sebulan juga perlu dibayar.
“Jika tiada wang, saya terpaksa berhutang dengan ahli keluarga terdekat untuk belanja sekolah anak,” katanya.














