Minggu lalu, penulis mengalami pengalaman yang tidak mahu dialami oleh setiap ibu bapa iaitu anak hilang.
Kalau dengar isu anak orang lain hilang pun kita luluh hati, ini kan pula anak sendiri.
Bersyukur kerana pengalaman yang dialami penulis itu hanya ‘jentikan manja’ oleh Tuhan supaya tidak ambil mudah dalam sesuatu perkara.
Anak penulis dijumpai dengan selamat selepas hampir sejam setengah tidak dijumpai selepas pulang sekolah. Nasib baik juga ‘anak bertuah’ itu tidak diculik atau cedera.
Pengajaran kepada kisah diri sendiri itu, jangan ambil mudah atau percaya orang lain untuk anggap anak kita seperti anak mereka. Anak mereka tetap anak mereka dan anak kita tetap anak kita. Anak kita mereka tidak akan anggap seperti anak ‘mereka’ sendiri.
Sebelum ini, di sekolah agama ‘anak bertuah’ itu ada kawannya hilang selepas sekolah.
Kecoh di kumpulan WhatsApp mengenai kehilangan kanak-kanak itu apabila pemandu van mendapati dia tiada di sekolah.
Selepas dua jam, kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun itu dijumpai orang ramai berjalan kaki sejauh 5 kilometer daripada sekolah.
Rupa-rupanya dia melarikan diri kerana takut dimarahi cikgu dan ibu bapanya kerana mencederakan seorang rakan di sekolah agama.
Jangan ambil mudah ya ibu bapa kerana kanak-kanak ini boleh berfikir sejauh itu (lari rumah) walaupun berumur 10 tahun kerana semua itu dihidangkan dalam video-video di media sosial.
Permainan video kegemaran mereka juga ada menghidangkan aksi melarikan diri tanpa memikirkan akibat dan bahayanya selepas itu.
Otak kanak-kanak ini boleh meniru aksi dalam video tetapi tidak boleh memikirkan kesan buruk dan baiknya.
Itu kes hilang kanak-kanak kerana pengaruh video di media sosial, lain pula isunya apabila kanak-kanak itu mula meningkat remaja.
Ada satu kes ketika membuat liputan di Baling, Kedah, anak gadis seorang pemilik gerai makan di situ hilang selepas berkenalan seorang pelanggan lelaki asing.
Sedihnya seorang bapa apabila anaknya baru berumur 16 tahun melarikan diri dengan lelaki yang didakwa teman lelakinya melalui Thailand hingga ke Laos demi cinta.
Melalui satu temu ramah khas bersama Kosmo! beberapa tahun dulu, seorang pegawai polis pernah memberitahu hampir 90 peratus anak remaja hilang atau lari dari rumah adalah kerana mengikut teman lelaki.
Menjaga anak gadis sememangnya mencabar sejak dulu, menjadi lebih mencabar apabila masing-masing sudah ada telefon bimbit dan hidup dalam dunia hanya di hujung jari.
Jangan ambil mudah ya wahai ibu bapa, jangan anak hilang baru kita hendak ‘menangis tidak berlagu’.
















