BERBUNYI remeh langsung tidak penting untuk ekonomi negara, namun ‘itu ini begitu begini’ yang berlaku dalam kehidupan selebriti adalah selingan pencuci mulut dalam kelangsungan hidup semua.
Macam mahu sambut Aidilfitri tanpa iklan raya meruntun jiwa, mendatar sahaja bukan?
Jadi, selepas banyak kes pedih, bakal guru mati dipercayai dicekik anggota polis, budak empat tahun ditinggalkan sendirian jatuh dari tingkat 16 dan wanita mati terperosok motosikal dinaiki langgar pembahagi jalan sepanjang minggu ini, mental orang yang mudah panas dan sensitif pasti juga pantas meledak, terikut emosi yang kalau tidak mampu dikawal boleh menjana anxiety dalam diri.
Jangan kalian tidak tahu penyakit-penyakit sekeliling boleh menyakiti segelintir individu biarpun perkara itu hanya ada kaitan emosi diri sendiri, kenalan atau trauma masa kecil dengan mereka sahaja.
Zaman sekarang kalau mental tidak kuat atau tiada sistem sokongan yang sentiasa ambil tahu, ramai orang boleh dalam paranoid yang akhirnya menjejaskan kualiti hidup. Lebih teruk, hilang fokus kerja dan buat onar dalam rumah tangga.
Jadi bagaimana untuk jaga mental agar tidak terjejas (menjadi terpuruk teruk) dengan keras dan kejamnya dunia?
Caranya, masuk telinga kiri keluar telinga kanan, kerana masalah paling besar di dunia ini adalah masalah orang lain yang menjadi masalah kita.
Berbalik ke para pertama tadi, penulis ingin membawa ‘vice versa’ bolak-balik kehidupan orang yang jangan kita keji tetapi kaji untuk muhasabah diri, di mana dan ke arah mana kita ini.
Misalnya, ketika artis yang sebelum ini ibaratnya selagi boleh tayang segala lekuk tubuh dan bahagia sampai ke tab mandi dengan suami pun hendak ditonjolkan, sekarang sudah istiqamah mahu bertudung litup.
Di sebalik kisah itu, ada artis kubur kata mari, rumah kata pergi pun seronok pula ‘free hair’ atas alasan migrain dan suami izinkan. Pening bukan? Jangan serius sebab semua itu sementara.
Satu kes lagi, ramai tahu pelakon Fatiya Latiff pernah buat ‘gila’ macam-macam hendak dilondehkan, menghina bekas kekasih dan isteri, dedah ada masalah skizo dan mental yang hasilnya sekarang, pendapatan semakin stabil dan kembali macam rasional, sibuk berlakon sana sini.
Senario terakhir, marilah para netizen semua beri peluang sama adil untuk pelakon Nonny Nadirah pula buat ‘gila’. Kita hanya boleh mengkritik, herdik dan berharap yang baik-baik, di hujungnya, saudara-saudari semua hanya perlu ingat satu perkara, itulah dunia hiburan. Dunia yang menampakkan segala indah dan cela, namun di sebaliknya lebih hitam dan gelap serta amatlah jauh lebih
‘gila’ dan berbeza daripada apa kalian lihat dalam media sosial sahaja.
Sama juga dengan berapa marahnya netizen dengan laporan-laporan punca sehingga berlakunya kematian tragis Nur Farah Kartini. Di hujungnya kalau mahu tenang, buat-buatlah tidak tahu dengan apa yang kita tahu. Nak berbalah pun janganlah sampai berbunuh, bala akibatnya!
















