JURANG digital dalam pendidikan bukan sahaja melibatkan golongan luar bandar, malah pelajar terpinggir yang terdapat di ibu kota, Kuala Lumpur.
Golongan berkenaan juga perlu diambil perhatian kerana mereka juga berhak mendapatkan pendidikan yang sempurna.
Sebagai inisiatif sulung untuk merapatkan jurang tersebut, syarikat pengkomputeran awan Malaysia, Matrix Connexion melancarkan program, TechConnectED.
Ketua Pegawai Eksekutif Matrix Connexion, Sean Tay berkata, program itu bertujuan memperkasakan pelajar terpinggir di Malaysia.
Ujarnya, ia akan dijayakan melalui pengetahuan, kemahiran dan teknologi yang diperlukan untuk berkembang maju dalam landskap digital abad ke-21.
“Inisiatif ini dimulakan dengan pengedaran 30 Chromebook kepada pelajar terpinggir di Yayasan Chow Kit (YCK).
“Inisiatif ini dimulakan dengan acara khas di YCK, KL Krash Pad pada 23 Mei 2024 lalu,” katanya semasa acara pelancaran TechConnectED di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Tambahnya, dalam acara tersebut, kakitangan Matrix Connexion telah mengedarkan Chromebook kepada pelajar dan memperkenalkan Projek Sekolah Dunia.
Projek itu merupakan komuniti digital yang diterajui oleh Wakil Tabung Darurat Kanak-Kanak Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).
Komuniti tersebut merupakan platform pembelajaran yang menawarkan pelbagai kandungan pembelajaran kemahiran digital.
Ia bertujuan memastikan kemasukan digital dan pembangunan kemahiran masa depan kepada kanak-kanak terpinggir di Malaysia.
Antara program yang dijalankan pada majlis tersebut termasuk permainan interaktif, penerangan oleh kaunselor YCK, Pusenthi dan sesi pembelajaran secara langsung menggunakan platform Projek Sekolah Dunia. Untuk makluman, Universiti Taylor telah bekerjasama dengan YCK sejak 2021.
“Universiti tersebut telah memainkan peranan penting dalam membangunkan kurikulum inklusif, fleksibel dan responsif bagi pelajar sekolah menengah, menangani pelbagai keperluan terpinggir serta pelajar tanpa dokumen.
“TechConnectED menyediakan penyelesaian pendidikan digital yang komprehensif, melengkapkan pelajar dengan Chromebook dan akses kepada Projek Sekolah Dunia,” kongsinya.
Platform tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif UNICEF dalam merancang semula pendidikan kepada setiap kanak-kanak, memupuk persekitaran pembelajaran yang kolaboratif dan menarik.
TechConnectED dimantapkan lagi melalui kerjasama dengan pasukan Google for Education.
Google Workspace for Education dan Peningkatan Pendidikan Chrome (CEU) dapat meningkatkan pengurusan peranti.
“Kami memastikan pelajar mempunyai akses kepada persekitaran pembelajaran yang selamat, terjamin dan produktif, memberikan ketenangan fikiran kepada pendidik serta ibu bapa.
“Alat ini membolehkan kerjasama yang lancar, pengurusan bilik darjah yang cekap dan ciri keselamatan mantap.
“Usaha memperkasakan pelajar dan guru dapat memaksimumkan potensi pendidikan digital,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Pendidikan, Universiti Taylor, Hema Letchamanan berkata, kerjasama pihaknya dengan YCK tertumpu pada mewujudkan persekitaran pendidikan inklusif dan mudah disesuaikan.
“Inisiatif TechConnectED melengkapkan usaha kami dengan sempurna, menyediakan pelajar yang tidak berpeluang mendapatkan kemahiran digital bagi membuka peluang pembelajaran baharu dan laluan kerjaya masa depan.
“Kami berbangga dapat terlibat dalam program ini dan menyaksikan impak positifnya kepada masyarakat,” jelasnya.
Tambahnya, TechConnectED merupakan salah satu langkah penting dalam merapatkan jurang digital dalam kalangan pelajar.














