PETALING JAYA – Individu yang gagal mengawal diri ketika berbelanja sehingga sanggup berhabis demi mencapai impian berkemungkinan mengalami compulsive buying disorder (CBD) atau ketagihan membeli.
Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Fauziah Mohd. Saad berkata, mereka yang mengalami gangguan ini sering berasakan dorongan kuat untuk membeli sesuatu tanpa mengira kemampuan kewangan mereka.
“Dalam psikologi, istilah itu mungkin sesuai untuk individu yang membeli barang walaupun tidak mempunyai wang. Perkara ini boleh mengakibatkan hutang dan masalah kewangan serius.
“Terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan seseorang itu sukar mengawal diri dalam berbelanja,” katanya baru-baru ini.
Tambah Dr. Fauziah, faktor tersebut termasuk emosi di mana ramai orang berbelanja sebagai cara untuk mengatasi stres, kemurungan ataupun kebosanan yang turut dikenali sebagai retail therapy’.
“Selain itu, perkara tersebut juga boleh berlaku disebabkan faktor sosial seperti tekanan dari media sosial dan rakan-rakan yang memperlihatkan gaya hidup mewah.
“Kekurangan kawalan diri juga boleh menjadi penyebab di mana masalah dalam kawalan impuls boleh menyebabkan seseorang sukar menahan diri dari membuat pembelian yang tidak perlu,” jelasnya.
Katanya, pembelian secara tidak terkawal juga boleh berlaku kerana terpengaruh dengan pemasaran dan pengiklanan yang menggunakan strategi bijak dan promosi berterusan.
“Selain itu, ada juga individu yang mempunyai sikap takut ketinggalan atau fear of missing out (FOMO), iaitu perasaan cemas atau takut bahawa anda akan terlepas sesuatu yang menarik atau berharga yang orang lain alami.
“Faktor-faktor yang menyumbang kepada FOMO termasuk media sosial, yang mana terdapat banyak paparan kehidupan mewah dan pengalaman orang lain di media sosial yang boleh mempengaruhi keinginan untuk menjadi sebahagian daripada kumpulan atau tidak mahu ketinggalan,” ujarnya.
Kosmo! semalam melaporkan, ada segelintir individu sanggup berhabis demi hobi berbanding untuk perkara keperluan sehingga menyebabkan mereka terpaksa mengikat perut setiap bulan.














