Cameron Highlands (CH) pastinya banyak meninggalkan kenangan manis di hati semua pelancong dengan membaca coretan perkongsian kandungan, gambar dan status di dalam media sosial.
Namun, ada juga yang menyimpan perasaan marah, sakit hati, sehingga ada yang sanggup memboikot, malah berdendam tidak mahu menjejakkan lagi ke tanah tinggi tersebut sampai bila-bila.
Timbul pelbagai isu negatif yang dihadapi pengunjung khususnya daripada segi pembelian makanan yang terlalu mahal di restoran, ditipu oleh pemilik homestay dan yang paling biasa didengar adalah kesesakan jalan raya sehingga menghilangkan mood bercuti.
Terperangkap dalam kesesakan jalan raya khususnya pada musim cuti sekolah, hujung minggu sehingga dua, tiga jam sedangkan perjalanan biasa hanya mengambil masa sekitar 20 minit, adalah perkara biasa untuk pengunjung Cameron Highlands dan penduduk di sana.
Dalam kemelut tersebut, tiada siapa yang tahu nasib penduduk tanah tinggi berkenaan yang mana setiap kali tibanya hujung minggu dan musim cuti sekolah, pastinya mereka terpaksa beralah dan berkurung di rumah masing-masing, malah pergerakan mereka terbatas daripada melakukan aktiviti harian seperti biasa.
Bagi mengelak hati semakin gundah, ada yang sudah membuat perancangan awal balik ke kampung atau bercuti di luar Cameron Highlands.
Untuk menjadi orang Cameron Highlands, mereka perlu bijak mengatur masa terbaik melaksanakan aktiviti hujung minggu termasuklah merangka perjalanan pulang ke rumah.
Terdapat situasi apabila ada yang terpaksa menunggu sehingga lewat malam untuk memanfatkan laluan yang lebih lengang.
Itu belum lagi timbul isu tiada ruang parkir di kawasan perumahan yang terletak berdekatan tempat tumpuan pelancong atau berdekatan homestay yang membuatkan pelancong sesuka hati meletak kereta dalam petak kenderaan pemilik rumah.
Tiada disiplin menjaga kebersihan, suasana bising di homestay dan perkara lain yang membuatkan kesabaran penduduk Cameron Highlands semakin diuji membuatkan mereka rasa trauma bila tibanya hujung minggu, cuti umum khususnya pada akhir bulan (atau hari gaji) serta pada musim cuti sekolah.
Lebih menarik, tawaran harga tidak masuk akal berlaku pada jualan barangan, hasil tani, makanan dan minuman juga turut meningkat mengikut musim cuti sekolah.
Bagaimanapun, apabila di luar musim cuti sekolah, sayur-sayuran, malah strawberi boleh dijual pada harga diskaun sehingga 50 peratus.
Jangan fikir azab pelancong sahaja yang hanya datang berkunjung ke tanah tinggi itu sekali sekala tetapi bersimpatilah juga nasib penduduk yang menghadapi masalah kesesakan jalan raya ini sepanjang tahun.
Sehingga kini, tiada jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah tersebut, malah isu kesesakan jalan raya di situ semakin teruk berlaku.
Malah, ramai sudah memikirkan untuk berhijrah atau bertukar tempat kerja di luar Cameron Highlands bagi membolehkan mereka mencari ketenangan selain manfaat kesihatan jangka panjang.














