FENOMENA perkahwinan childfree dilihat mula menjalar di negara ini terutama dalam kalangan pasangan muda sekali gus mencetuskan kegusaran akan implikasi kemudian hari.- Gambar hiasan

Tanpa anak, fitrahnya kelak sunyi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TATKALA membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga bersama suaminya sekitar tiga tahun lalu, eksekutif kewangan di sebuah syarikat swasta yang hanya mahu dikenali sebagai Syaza nekad tidak mahukan anak kerana tidak pernah mengimpikan untuk bergelar seorang ibu.

Setiap kali berkunjung ke rumah sanak saudara, wanita berusia 30 tahun itu sering diasak soalan perihal anak oleh saudara-mara dan rakan-rakan yang kasihan melihat pasangan itu kerana masih berdua biarpun selepas bertahun-tahun mendirikan rumah tangga.

“Walhal, semua ini memang rancangan saya dan suami, namun saya akui agak sukar menjelaskannya kepada sanak saudara dan hanya memilih untuk membalas setiap soalan dengan jawapan klise iaitu belum rezeki lagi,” katanya kepada K2.

Sejak pandemik Covid-19, ada pasangan di negara ini yang berkahwin, namun memilih untuk tidak memiliki anak atau childfree, terutama sekali melibatkan golongan muda.

Antara alasan yang diberikan adalah tidak bersedia memikul tanggungjawab sebagai ibu bapa, selesa hidup berdua selain kos sara hidup yang tinggi menjadikan pasangan muda berdepan masalah kewangan dan berasa tidak mampu membesarkan anak.

Tambah Syaza, biarpun ada yang mempersoalkan pilihan yang dibuat, namun wanita itu menegaskan bahawa ia adalah dengan persetujuan suami dan juga keluarganya.

“Pada awalnya, agak sukar untuk meyakinkan ibu dan ayah saya tentang pilihan untuk meneruskan perkahwinan ‘childfree’ kami, namun selepas diterangkan tentang beberapa faktor yang mendorong keputusan ini seperti beban kewangan serta kerjaya kami yang baru memuncak, mereka akhirnya bersetuju.

“Ujar ibu saya, pada akhirnya, segala tugas menjaga anak itu kelak perlu ditanggung oleh saya dan suami, justeru dia enggan terlalu masuk campur keputusan kami berdua dalam membentuk sebuah institusi kekeluargaan.

“Malah, emosi saya juga tidak begitu stabil selepas disahkan menghidap Major Depressive Disorder (MDD) dua tahun lalu, menjadikan saya bimbang tidak mampu menjaga anak kelak,” luah Syaza.

Terdapat pelbagai faktor pasangan pada hari ini memilih untuk tidak mempunyai zuriat.

Fenomena perkahwinan childfree bukan hanya berlaku di Malaysia, bahkan ia sudah lama berlaku di negara-negara lain seperti Amerika Syarikat (AS), Finland, Jepun, Korea Selatan dan juga Indonesia.

Jika di negara luar, gaya hidup bebas, kos membesarkan anak yang tinggi dan juga hobi gemar melancong menjadi punca utama mengapa pasangan suami isteri memilih untuk ‘bebas anak’.

Menurut satu kaji selidik yang diterbitkan oleh akhbar Korea Selatan, The Hankyoreh, lebih 60 peratus pasangan berkahwin di negara itu melihat tiada keperluan untuk mempunyai anak selepas berkahwin.

Syarikat media AS, BuzzFeed pula bulan lalu melaporkan ramai golongan milenial di negara itu yang tidak mempunyai anak hasil daripada perkahwinan mereka dan mengakui masih mempunyai perkahwinan yang bahagia.

“Saya dan suami masing-masing bekerja dan biarpun selepas lima tahun berkahwin, kami berdua masih bahagia.

“Biarpun adakalanya terfikir bagaimana agaknya kehidupan jika saya bergelar ibu, namun sehingga ke hari ini saya dan suami gembira dengan keputusan kami untuk kekal childfree,” demikian kata seorang netizen AS.

Sehingga ke hari ini, isu childfree yang merujuk kepada pasangan berkahwin yang tidak ada keinginan untuk mempunyai zuriat masih hangat diperkatakan dan trend itu semakin popular dalam kalangan pasangan muda di negara ini, dengan alasan enggan dibebani komitmen membesarkan anak.

Terma tersebut sudah wujud sejak awal 1900, namun ia hanya digunakan dengan meluas pada 1970-an oleh golongan feminis yang secara sukarela memilih untuk tidak mempunyai anak.

Bagi kebanyakan pasangan berkahwin, kehadiran zuriat menjadi pengikat kasih, selain menambah kebahagiaan kepada perkahwinan yang dibina.

Begitu pun, persepsi itu kini semakin berubah, khususnya bagi pasangan muda yang mula melihat kehidupan tanpa anak juga membahagiakan memandangkan tanggungjawab membesarkan anak adalah satu komitmen sepanjang hayat.

Pakar Perunding Kaunselor Kekeluargaan dan Perkahwinan, Hushim Salleh memaklumkan, rata-rata pasangan yang memilih untuk tidak melahirkan zuriat ini menganggap anak itu sebagai satu beban kewangan, mental juga emosi.

“Ramai pasangan sekarang yang kalau boleh mereka memang mahu hidup berdua sahaja, sama seperti ketika zaman bercinta, lalu sama-sama mengambil keputusan untuk tidak mahu mempunyai anak.

“Ada pasangan yang datang kepada saya, mereka bercakap soal anak dan memaklumkan tidak mahu miliki zuriat kerana kos membesarkan anak itu tinggi,” katanya.

Tambah Hushim, perkara itu membimbangkan kerana lama-kelamaan ia boleh memberi kesan kepada perkahwinan pada jangka masa yang panjang.

“Sebagai contoh, apabila usia perkahwinan itu sudah lebih setahun atau dua tahun, manusia ini hatinya berubah-ubah dan boleh jadi, ketika itu, mereka sudah mula ada kesedaran untuk mempunyai zuriat.

“Jadi, perkara ini boleh menimbulkan isu lain pula. Di awal perkahwinan, mungkin mereka hanya mahu fokus untuk nikmati alam perkahwinan berdua, namun lama-kelamaan, mereka baru terfikir (untuk mempunyai zuriat),” katanya.

Cahaya mata menjadi penyeri rumah tangga dan penyambung warisan keturunan.
– Gambar hiasan

Hushim menasihatkan supaya pasangan yang memilih untuk tidak mempunyai anak supaya merujuk kepada kaunselor-kaunselor untuk mendapatkan nasihat, terutama sekali bagi pasangan yang beragama Islam.

“Selain kaunselor, ibu bapa pasangan juga memainkan peranan yang penting untuk menasihat serta mengingatkan anak-anak bahawa setiap perkahwinan itu datang dengan tanggungjawab yang harus dipikul,” katanya.

Mengulas isu sama, bekas mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman ketika dihubungi K2 memberitahu, perkahwinan tanpa mahukan anak itu bercanggah dengan hukum syarak.

“Dalam institusi perkahwinan, tidaklah diwajibkan kepada pasangan berkahwin itu untuk mempunyai anak, namun segala bentuk menghalang kelahiran anak itu adalah dilarang.

“Sunnah Rasulullah SAW adalah untuk mendapatkan zuriat bagi meramaikan lagi umat Islam di dunia, sebagai menambah kekuatan kita,” katanya.

Abdul Rahman turut menjelaskan bahawa pasangan berkahwin tidak perlu bimbangkan soal rezeki kerana semuanya sudah ditulis oleh Allah SWT.

“Rezeki ini milik Allah dan datangnya daripada Allah SWT. Ya, kita dibolehkan untuk merancang, namun perancangan Allah SWT itu sesungguhnya adalah yang terbaik.

“Sebagai umat Islam, kita ini bukan hidup untuk diri kita sahaja, kita perlu ada usaha untuk membangunkan ummah menerusi warisan atau keturunan,” katanya.

Turut berkongsi pendapat sama tentang kemungkinan timbul rasa sunyi kelak jika tidak mempunyai anak, jelas Abdul Rahman bahawa perasaan itu adalah fitrah daripada Yang Maha Esa.

“Fitrah ini adalah satu anugerah dan ujian setiap orang itu berbeza-beza. Mungkin kelak, timbul rasa sunyi pula kerana tidak mempunyai anak dan ketika itu, mungkin pasangan ini yang sudah semakin berusia akan mula memikirkan untuk ambil anak angkat dan sebagainya,” katanya.

Kesimpulannya, setiap individu dan pasangan harus melakukan pertimbangan yang mendalam dan memahami implikasi yang mungkin muncul daripada keputusan untuk menjalani kehidupan tanpa anak, sambil memahami kepentingan dan tujuan asal bagi sesebuah perkahwinan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN