PUTRAJAYA – Bekas Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Hassan Ahmad dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/2024M.
Hassan, 82, yang juga anak jati Permatang Sungai Dua, Kepala Batas, Seberang Perai, Pulau Pinang mempunyai Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang Fakulti Syariah dan Undang-Undang Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK) Nilam Puri, Kelantan.
Beliau juga berkelulusan Ijazah Sarjana Usul Al-Fiqh Fakulti Syariah, Universiti Al-Azhar, Mesir dan kini berkhidmat sebagai Penasihat Kehormat Pusat Pengajian Darul Hadis, Pulau Pinang sejak tahun 2015.
Hassan turut menerbitkan beberapa buku termasuk Bai’al-Murabahah (Produk Kewangan Islam), Kepentingan Mencari Kekayaan Dalam Islam, Ruang Lingkup Ijtihad, Ijtihad dan Kesesuaian Islam Untuk Semua Keadaan.
Beliau juga adalah penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1433H/2012M dan penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 1436H/2014M.
Sementara itu, Professor Asas Perundangan Islam, Universiti Qatar, Prof. Dr. Ali Muhyiddin Ali Al-Qaradaghi, 75, pula dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Antarabangsa Tahun 1446H/2024M.
Beliau yang berasal dari Qaradagh, Daerah Sulaymaniyah, Wilayah Kurdistan, Iraq juga terbabit selama 40 tahun dalam menasihati sistem perbankan syariah dan ekonomi Islam di Malaysia.
Selain itu, Dr. Ali Muhyiddin berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah Islamiah dari Kolej Al-Imam Al-A’zam di Baghdad pada tahun 1975 selain memiliki Ijazah Sarjana dalam bidang perundangan perbandingan dari Fakulti Syariah dan Undang-undang di Universiti Al-Azhar pada tahun 1980.
Beliau juga pemegang ijazah kedoktoran dalam Syariah dan Undang-undang di Universiti Al-Azhar dalam bidang kontrak dan transaksi kewangan, pada tahun 1985.
Kedua-dua tokoh menerima hadiah wang tunai, sijil dan trofi yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim. – KOSMO! ONLINE