fbpx
Seorang penduduk mengangkat paip yang dirosakkan gajah liar di Kampung Simpang Gening di Lipis semalam.

‘Dah la rosakkan kebun, paip air pun kau pecahkan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LIPIS – Sembilan keluarga Orang Asli yang mendiami Kampung Simpang Gening di sini terpaksa menanggung kerugian lebih RM3,000 selepas tanaman dan paip saliran pertanian di kebun mereka dimusnahkan gajah liar awal pagi semalam.

Seorang penduduk Darudin Rahim, 42, berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2 hingga 7 pagi itu melibatkan sekurang-kurangnya tiga ekor gajah yang telah menceroboh kawasan pertanian mereka.

“Banyak pokok sawit muda, pisang dan durian telah dipulas, patah dan tumbang ketika haiwan liar ini tiba-tiba menceroboh kawasan kami.

“Difahamkan, gajah liar ini mahu mencari makanan. Bukan sahaja tanaman, saluran paip yang kami gunakan untuk alirkan air dari anak sungai berdekatan juga dirosakkan dan banyak yang pecah.

“Ini termasuklah tong berisi air yang diletakan di hadapan rumah dan kebun,” katanya semalam.

Menurut Darudin, ancaman gajah liar kerap kali berlaku di kawasan mereka terutama pada waktu awal pagi bertujuan untuk mencari makanan.

Dalam pada itu, seorang penduduk, Jamie Chawan, 40, berkata, kemusnahan paip milik penduduk menyebabkan mereka sukar untuk mendapatkan air dari anak sungai berdekatan untuk keperluan harian dan menyiram tanaman.

“Hari ini (semalam) kami bergotong-royong membaiki semula kerosakan paip poly yang putus dan rosak. Mana yang mampu beli, mereka akan beli kerana paip ini penting untuk urusan harian.

“Bagaimanapun, kami mohon sekiranya ada pihak di luar sana yang mahu membantu kami terutama dalam pemasangan paip ini agar air dapat disalurkan ke rumah selain ke kawasan kebun,” ujarnya.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN