BOLA sepak sinonim dikaitkan dengan sukan rakyat. Ia dimainkan oleh kebanyakan masyarakat di negara ini daripada kanak-kanak, golongan dewasa sehinggalah warga emas.
Bagi penulis yang membesar dalam suasana kampung di Kedah sekitar lewat 90-an dan awal 2000-an, bola sepak tidak hanya dilihat sebagai sukan, malah ia adalah medan penyatuan ukhuwah buat masyarakat setempat.
Apa tidaknya, dalam satu padang itu semua boleh main sekali daripada kanak-kanak sekolah rendah, remaja bekerja kilang sehinggalah golongan berusia yang sudah pencen.
Selain itu, bola sepak juga merupakan hiburan untuk kanak-kanak terutamanya ketika musim kemarau di negeri Jelapang Padi.
Mereka ini menjadikan petak sawah yang kering kontang sebagai padang, sementara tiang gol diperbuat daripada buluh dengan azan maghrib adalah wisel penamatnya.
Bagaimanapun, panorama seperti itu sudah tidak kelihatan di kampung-kampung ketika ini. Malah, padang yang sebelum ini luas terbentang kian mengecil atau hilang terus dari pandangan akibat arus pembangunan.
Kini, budak-budak kampung yang hendak bermain bola sepak terpaksa menyewa padang atau gelanggang futsal yang harganya boleh mencecah ratusan ringgit bagi setiap sesi. Ada padang yang berharga sampai RM700 ringgit untuk setiap sesi termasuk bayaran kepada pengadil.
Justeru, tidak salah kiranya ada pihak yang melabel bola sepak sebagai sukan orang kaya (T20) iaitu setaraf golf, tenis, lawan pedang dan lumba kuda.
Memburukkan lagi keadaan, perlawanan bola sepak di kaca televisyen juga hanya boleh dinikmati oleh golongan berduit iaitu mereka yang melanggan saluran televisyen berbayar.
Jika dulu ketika Kejohanan Euro atau Piala Dunia, semua golongan termasuk penulis berpeluang menyaksikan perlawanan terbabit menerusi kaca televisyen di saluran percuma.
Ingat lagi, penulis sanggup bersengkang mata sehingga pukul 3 pagi semata-mata untuk melihat aksi hebat bintang-bintang dunia seperti David Beckham, Totti, Pirlo dan Zidane. Dari situlah minat penulis terhadap bola sepak berputik dan ia kekal hingga sekarang.
Sekiranya perkara ini berterusan, penulis bimbang sekiranya minat anak muda di negara ini terhadap arena bola sepak terjejas dan tertumpu kepada golongan tertentu saja.
Situasi ini akan menjejaskan usaha negara untuk melahirkan lebih ramai pemain bola sepak berbakat yang mampu bermain di pentas tertinggi.
Justeru itu, pihak berwajib perlu mewujudkan kembali padang rakyat di seluruh negara, selain memberi akses tontonan bola sepak secara percuma kepada masyarakat terutamanya ketika kejohanan-kejohanan besar.














