Saudara Pengarang,
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini menetapkan pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri adalah pada 17 Ogos depan.
Menerusi kenyataan awal SPR, kos yang diperlukan untuk melaksanakan PRK ini adalah sebanyak RM1.6 juta.
Melihat kepada jumlah itu, saya merasakan nilainya sangat tinggi dan terlalu besar hanya semata-mata untuk memilih seorang wakil rakyat.
Berbeza dengan PRK Sungai Bakap, ia diadakan bagi menggantikan wakil rakyat terdahulu yang meninggal dunia.
Namun, PRK Nenggiri diadakan hanya kerana ‘konflik politik’ sehingga menyebabkan kerusi DUN berkenaan dikosongkan.
Mungkin dari segi perlembagaan, PRK tersebut tidak salah untuk diadakan sebagai tanda sebuah demokrasi, namun dari sisi lain, ia sebenarnya satu pembaziran.
Tak kala rakyat berdepan dengan pelbagai cabaran dalam mendepani kos harian yang semakin tinggi, maka nilai RM1.6 itu dirasakan lebih sesuai digunakan untuk membantu mereka yang memerlukan.
Kalau tidak pun, nilai sebanyak itu sebenarnya boleh digunakan untuk meningkatkan aspek kemudahan yang boleh memberi manfaat kepada rakyat.
PENGUNDI ATAS PAGAR
Gua Musang, Kelantan














