IBADAH korban merupakan salah satu amalan sunat yang sangat dianjurkan dalam Islam dan biasanya dilakukan pada Hari Raya Aidiladha dan hari-hari Tasyrik.
Lazimnya, di Malaysia acara penyembelihan ternakan korban ini dilakukan di masjid, surau, padang awam, balai raya atau rumah persendirian.
Namun begitu, dengan perkembangan teknologi, kewujudan pelbagai kemudahan secara dalam talian telah membuka lebih banyak peluang buat orang ramai untuk melaksanakan ibadah tersebut tidak kira di mana jua mereka berada.
Terdapat pelbagai portal di alam maya yang telah membantu penyertaan atau urusan korban. Antaranya ialah Ikhlas.com, EzQurban (EZQ), Thijari- Tabung Haji, Islamic Relief Malaysia, Korban Haluan dan lain-lain.
EzQurban (EZQ) misalnya telah memulakan operasi sejak 3 April 2007 lagi.
Berdasarkan laman web EZQ, platform tersebut merupakan sebuah syarikat yang mengkhususkan perkhidmatan pelaksanaan ibadah korban dan aqiqah serta perkhidmatan sampingan yang lain seperti fidyah, derma dan wakaf.
“EZQ berperanan menawarkan kemudahan kepada umat Islam di Malaysia khususnya dan seluruh dunia amnya dalam pelaksanaan ibadah aqiqah dan korban agar lebih mudah dan cepat.
“EZQ beriltizam untuk menjadi satu jenama perkhidmatan aqiqah dan korban yang diyakini dan profesional di samping dapat membantu umat Islam luar negara yang lebih memerlukan,” tulisnya dalam laman web berkenaan.
Antara negara pelaksanaan korban dan aqiqahnya adalah Kemboja, Vietnam, Laos, Myanmar, Bangladesh, Thailand, Filipina, India, Indonesia, Sri Lanka, Mali, Chad, Kenya, Malawi dan lain-lain.
Portal ini membolehkan umat Islam menunaikan ibadah korban secara mudah. Terdapat tiga pilihan pelaksanaan korban iaitu Korban Global (pelaksanaan 39 buah negara),
Korban Lokal (agihan kepada asnaf tempatan dan Korban Syria (agihan kepada rakyat asnaf di Syria).

Pengguna hanya perlu tentukan pakej, daftar, lafaz akad dan membuat bayaran.
Memanfaatkan kemudahan teknologi masa kini, satu perkhidmatan kewangan digital terbaharu, MyQurban juga telah diperkenalkan untuk ibadah korban.
Menurut satu kenyataan baru-baru ini, MyQurban menawarkan kemudahan di hujung jari bagi memudahkan tempahan korban.
“MyQurban dilancarkan sempena sambutan Aidiladha dan merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Maybank Islamic untuk menjadikan perkhidmatan kami lebih mudah diakses dengan mendigitalkan rangkaian produk patuh syariah hujung ke hujung secara holistik.
“Platform ini bekerjasama dengan empat pembekal korban iaitu Yayasan Budi Ihsan Malaysia (YBIM), EZQ, Aqiqah Centre dan Aqiqah4u dan pelanggan mempunyai pilihan untuk menyertai korban di luar Malaysia dengan kos lebih mampu milik,” katanya dalam kenyataan itu.
Seiring dengan keprihatinan terhadap penduduk Palestin yang kini hidup dalam kesengsaraan peperangan, Maybank Islamic turut menjadikan ibadah korban tahun ini lebih bermakna melalui inisiatif kempen sadaqah.
Dengan setiap bahagian korban yang dipesan oleh pelanggan, pihak Maybank Islamic akan memadankan sumbangan (matching contribution) tersebut dan seterusnya dana berkenaan disalurkan kepada Mercy Malaysia untuk misi kemanusiaan di Palestin.
MyQurban adalah salah satu solusi di bawah rangkaian penuh produk dan perkhidmatan pengurusan kekayaan Islam, Maybank Islamic.
Ia merangkumi kesemua lima teras pengurusan kekayaan iaitu penghasilan, pengumpulan, perlindungan, penyucian dan pengagihan kekayaan.
















