SUNGAI PETANI – Kadar faedah tinggi yang terpaksa ditanggung dalam tempoh panjang biasanya tidak diambil kira oleh pelanggan asalkan hasrat untuk memiliki kenderaan sendiri tercapai.
Tambahan pula kedudukan kewangan yang tidak stabil kerana baru bekerja atau tiada tunai di tangan menyebabkan ada pelanggan yang sanggup meminjam daripada syarikat kredit berlesen.
Seorang jurujual yang enggan dikenali berkata, kebiasaannya pelanggan akan bersetuju dengan semua syarat yang dikenakan semasa proses jual beli tersebut berlangsung.
“Pelanggan tahu membeli kenderaan secara tunai dan berhutang sudah pasti harganya jauh berbeza, lagi-lagi syarikat kredit yang mengenakan faedah yang
tinggi.
“Sejak awal perbincangan kita (penjual) sudah memaklumkan mengenai harga tunai dan juga bayaran secara ansuran. Jadi mereka boleh memilih dan bersetuju dengan salah satu syarat yang dikenakan,” katanya.
Menurutnya, urus niaga sebegini tidak seharusnya dijadikan isu kerana mendapat persetujuan pelanggan dan ia terkandung dalam perjanjian yang ditandatangani sebaik urusan pembelian tersebut diproses untuk kelulusan.
“Biasanya kadar faedah yang dikenakan adalah lapan hingga sembilan peratus. Pilihan motosikal pula bergantung kepada pelanggan biasanya mereka memilih motosikal berjenama dan keluaran terbaharu seperti Honda RSX, Yamaha Y15ZR atau Y16ZR,” katanya.
Jelasnya, untuk motosikal tersebut, harga jualan tunai adalah RM10,000, manakala secara ansuran pula mencecah RM19,000.
“Untuk rekod, keuntungan bersih yang diperoleh daripada urus niaga tunai tidak tinggi antara RM2,000 dan RM3,000,” katanya.
Jelas jurujual itu, pihaknya tidak meletakkan sebarang syarat dan memaklumkan pembelian secara ansuran membabitkan syarikat kewangan melibatkan yuran khas yang perlu dibayar oleh pelanggan.
“Kadar faedah itu telah ditetapkan oleh syarikat kewangan bergantung kepada persetujuan pembeli mengikut tempoh bayaran ansuran yang sudah dinyatakan.
“Jadi saya mengesyorkan pembeli supaya membuat pembelian secara tunai kerana ia lebih menguntungkan daripada menanggung faedah tinggi dalam tempoh lama,” katanya.














