KOTA BHARU – Seorang remaja orang kelainan upaya (OKU) yang lemas semasa mandi bersama rakan-rakannya di sebuah tasik buatan di Kampung Tiong Dalam, di sini kelmarin merupakan anak yang taat dan tidak pernah meninggalkan solat.
Adam Bukhari Abdullah, 17, yang juga OKU lembam dan masalah pembelajaran itu juga berupaya menjadi bilal sejak berusia tujuh tahun.
Ibunya, Maznah Md. Sluji, 55, berkata, meskipun Adam Bukhari tidak pandai membaca dan menulis, anaknya itu sering menggantikan tugas bapanya yang merupakan seorang bilal di sebuah madrasah sekiranya tidak sihat.
Menurutnya, Adam Bukhari yang merupakan anak bongsu daripada enam beradik itu keluar dari rumahnya kira-kira pukul 5.30 petang bersama dua rakannya yang berusia 10 dan 11 tahun dengan menunggang motosikal.
“Saya tiada di rumah semasa dia keluar dan sebaik pulang, luruh hati apabila ada penduduk memaklumkan Adam Bukhari lemas.
“Difahamkan, Adam Bukhari mandi bersama seorang lagi rakannya sebelum dia tergelincir ketika berdiri atas tangga di kawasan tasik berkenaan,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di rumahnya di Kampung Belimbing, di sini semalam.
Maznah memberitahu, anaknya sudah lama tidak pergi ke tasik itu kerana kawasan berkenaan dipenuhi semak selepas projek pembinaan tasik tersebut dihentikan buat sementara.
“Adam sudah biasa pergi ke tasik itu tetapi tidak pernah mandi. Saya tidak menyangka dia memang berniat untuk mandi di tasik itu semalam (kelmarin).
“Abangnya ada memaklumkan bahawa Adam Bukhari memang membawa baju basahan dari rumah. Dia memang mahu mandi,” ujarnya.
Maznah berkata, jenazah anaknya itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Belimbing, di sini kira-kira pukul 10 pagi semalam selepas dibawa pulang dari Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini pada pukul 3 pagi.
Sementara itu, saksi kejadian, Nur Bainun Afzan Mat Hussin, 31, berkata, mangsa dikatakan lemas ketika mandi bersama beberapa rakannya di dalam tasik berkenaan yang dianggarkan sedalam hampir dua meter.
Menurutnya, dia menyedari mangsa lemas sebaik tiba di tasik itu untuk mengambil gambar suasana kawasan itu bersama anak saudaranya.
“Semasa tiba di tasik, saya melihat ada beberapa remaja lelaki berada di situ sebelum memaklumkan rakan mereka lemas.
“Saya terus meminta bantuan penduduk yang kebetulan melalui kawasan tasik itu sebelum menghubungi panggilan kecemasan,” katanya.














