fbpx
ANIS sekeluarga sering berdepan perkara aneh di rumah selepas menggaji seorang amah. - ILUSTRASI SHAH HASAN

Trauma lepas ambil amah pengamal ilmu hitam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENGALAMAN berdepan dengan sikap pembantu rumah yang pelik menjadikan Anis (bukan nama sebenar) serik untuk mendapatkan khidmat golongan tersebut.

Biarpun mengakui penat menguruskan rumah tangga sebagai seorang wanita bekerjaya, namun dia agak gusar mahu membenarkan ‘orang luar’ menghuni rumahnya lagi.

Ia selepas dia berdepan pengalaman menakutkan bersama bekas pembantu rumahnya.

Anis dan suaminya, Bahar merupakan pegawai atasan di syarikat swasta berbeza di ibu kota.

Sebelum ini, mereka mampu menguruskan rumah tangga tanpa bantuan pembantu rumah, namun selepas dinaikkan pangkat dan beban kerja bertambah, Anis mula menggunakan khidmat pembantu rumah.

“Selepas melahirkan anak ketiga, saya memberitahu suami bahawa saya memerlukan pembantu rumah untuk menguruskan rumah, sekali gus menjaga anak-anak semasa bekerja.

“Suami pun terus menguruskan pengambilan pembantu rumah yang kami panggil Suria (bukan nama sebenar),” katanya membuka bicara.

Suria merupakan seorang wanita berusia pertengahan 30-an yang berasal dari negara jiran.

Tutur katanya yang lembut dengan kebolehan menjaga anak kedua mereka yang agak aktif membuatkan Anis amat menyukai Suria.

Malah, Anis selesa mengambil wanita bertubuh kurus itu bekerja dengannya.

Tidak lama kemudian, kejadian-kejadian aneh mula berlaku di kondominium mewah milik Anis, sekali gus menyebabkan dia mula curiga dengan Suria.

“Sebelum ini, kami tidak pernah mengalami kejadian-kejadian aneh di rumah seperti bunyi orang bercakap pada tengah malam atau bunyi tapak kaki orang berjalan di rumah ini.

“Namun, beberapa bulan selepas Suria mula bekerja dengan saya, kami sekeluarga sering mendengar bunyi-bunyi sedemikian hingga menyebabkan saya tidak sedap hati.

“Saya tidak mahu menuduh Suria memandangkan tiada bukti dan dia bersikap baik sahaja dengan saya,” kata Anis.

Bagaimanapun, bunyi-bunyi itu semakin kerap kedengaran sehingga menyebabkan Anis tidak boleh tidur.

Malah, anak bongsu Anis pernah tiba-tiba menangis dengan kuat pada tengah malam, seolah-olah ternampak sesuatu yang menakutkan.

“Apabila ditanya tentang perkara itu kepada Suria, dia hanya tersenyum sinis dan berkata, itu cuma perasaan saya sahaja.

“Saya semakin tidak sedap hati dan mengajak suami mengaji selepas solat maghrib bagi menghilangkan rasa takut,” kata Anis.

Pada suatu hari, kegiatan pelik Suria akhirnya terbongkar selepas Anis terlihat dia duduk berseorangan dalam gelap sambil membaca mantera aneh.

“Ketika itu, kami sekeluarga mahu ke rumah bapa saya untuk sambutan ulang tahun kelahirannya.

“Namun, selepas sampai ke tempat parkir kereta, saya menyedari tertinggal hadiah yang sepatutnya diberi kepada bapa.

“Lalu, saya berpatah semula ke rumah untuk mengambilnya.

“Saya terkejut apabila mendapati rumah berada dalam keadaan gelap kerana Suria telah menutup semua langsir, sekali gus menjadikan rumah dalam keadaan tidak selesa.

“Saya terus masuk ke bilik Suria untuk memarahinya. Saya terkejut apabila melihat dia sedang duduk bersila dalam gelap sambil mulutnya membaca mantera tidak difahami,” kata Anis.

Dia terus menghalau Suria dari rumahnya dan menceritakan perkara tersebut kepada ahli keluarga yang lain.

Salah seorang kenalan bapanya yang juga merupakan seorang ustaz kemudian memberitahu, Suria mengamalkan ilmu hitam.

Ujar ustaz itu, kejadian aneh yang berlaku di rumah Anis ada kena mengena dengan perbuatan Suria.

Anis berasa lega kerana mendapat tahu tentang perkara itu, sebelum banyak lagi kejadian buruk berlaku dalam rumahnya.

Buat masa ini, Anis masih trauma dan enggan mengambil pembantu rumah baharu sehingga dia kembali bersedia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN