fbpx
GAMBAR HIASAN

‘Suami adil tapi saya pula rasa macam kain buruk’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Acapkali bercakap atau mendengar mengenai poligami, Kartini (bukan nama sebenar) pasti terkenang-kenang akan apa yang berlaku dalam hidupnya hampir sedekad yang lalu.

Kerana poligami jugalah, dia membulatkan hati untuk tidak bernikah dengan mana-mana lelaki lagi meskipun dibenarkan dan mampu berbuat demikian.

Berkongsi kepada K2 setelah lama memendam rasa, anak jati Sungai Siput, Perak itu berkata, dia pernah mengecap kebahagiaan hasil perkahwinannya dengan bekas suami sekitar 15 tahun lalu.

“Hubungan cinta yang terbina antara kami berdua diakhiri secara halal apabila disatukan sebagai pasangan suami isteri.

“Kami diperkenalkan dalam kalangan ahli keluarga terdekat. Perkenalan kami juga tidak terlalu lama dan boleh dikatakan singkat sebelum kedua-dua bersetuju disatukan,” katanya.

Jelas Kartini, suaminya mempunyai perusahaan katering yang diusahakan keluarga besarnya sejak sekian lama selain ada beberapa cawangan restoran.

Mudah kata, suaminya datang daripada keluarga berada dan mewah yang rata-ratanya mempunyai pelbagai bisnes.

“Majlis perkahwinan kami juga mewah dan dilakukan di dewan besar dengan jemputan lebih 5,000 tetamu.

“Rezeki saya dikurniakan suami yang berjaya dalam perniagaan dan terjamin dari segi ekonomi,” katanya.

Diringkaskan kisah, selepas empat tahun berkahwin, mereka masih belum dikurniakan seorang pun cahaya mata.

Ujar Kartini yang memang tidak dibenarkan bekerja, dia hanya menggalas peranan sebagai suri rumah dan membantu menguruskan ibu mentuanya kerana tinggal serumah.

Katanya, macam-macam ikhtiar yang dia sekeluarga lakukan untuk dapatkan zuriat.

“Berpuluh-puluh klinik dan pakar juga telah kami lawati tetapi satu pun tiada yang berjaya.

“Saya sebagai seorang isteri benar-benar kecewa kerana di fasa perkahwinan ketika itu, sepatutnya kami sudah punyai seorang atau dua anak untuk dibesarkan.

“Suami juga nampak tertekan apabila bercakap soal ini. Ibu dan adik-beradiknya yang selalu bertanya dan seolah-olah mendesak turut menambahkan lagi tekanan suami,” katanya.

Perancangan Allah, pada suatu detik, ujar Kartini, suami berbicara dengannya dan sekali gus meminta izin untuk berpoligami atau dalam bahasa mudahnya kahwin lain.

Akui Kartini, mulanya hatinya tersentak dan ikut sedih kerana sampai ke tahap itu suami mahu lakukan.

Namun, setelah berfikir masak-masak dan untuk kelangsungan zuriat suami, Kartini dengan rela hati membenarkan meskipun pahit ditelan mengizinkan suaminya bernikah lain.

Selang beberapa bulan, satu majlis akad nikad dan persandingan secara sederhana diadakan bagi meraikan pasangan mempelai dan isteri kedua.

Permintaan suami sebelum ini juga meminta untuk mereka berdua (madu) tinggal serumah bersama ibu mentua juga.

Akui Kartini, suaminya sangat adil dalam membahagikan masa antara kedua-dua isterinya, tetapi entah mengapa hatinya mula rasa lain.

Memasuki bulan ketiga perkahwinan dengan isteri kedua, Hana (bukan nama sebenar) diberitakan hamil dan perkara itu membuatkan seisi keluarga gembira dan tidak sabar menantikan kelahiran cucu.

“Bayangkan bagaimana hati saya ketika itu. Kami tinggal serumah tetapi seakan-akan merasakan diri saya langsung tidak berguna dan ibarat kain buruk.

“Bila isteri kedua hamil, perhatian suami dan ibu mentua pasti terarah kepada Hana. Bukan bermaksud saya tidak dilayan baik, tetapi kita boleh rasakan ada sesuatu yang tidak kena daripada kebiasaan,” katanya.

Beritahu Kartini, beberapa kali dia minta untuk tinggal berasingan dan mahu memberikan ruang yang lebih kepada madunya ketika hamil, namun tidak diterima suaminya.

Sampailah saat Hana bersalin anak lelaki dan fasa-fasa membesarkan anak, Kartini tetap ‘setia’ tinggal di rumah yang sama menyaksikan segala apa yang berlaku.

Meskipun dijaga sama rata dan langsung tiada yang berlainan, tetapi hati Kartini merasakan sangat berbeza dan hal itu membulatkan hatinya untuk minta dilepaskan.

Segala air mata yang tumpah dipendam dan disorokkannya tanpa pengetahuan suaminya.

Puas berfikir masak-masak, Kartini nekad ingin berpisah. Kartini memberitahu suami isi hatinya dan apa yang dirasakan serta tetap dengan keputusan untuk dilepaskan demi kebahagiaan semua pihak.

Akhirnya, urusan perceraian dibawa ke mahkamah syariah dan Kartini dilepaskan dengan talak satu.

Bagi Kartini, dia rela berpisah dan hidup sendiri daripada terus tersiksa dan memendam rasa berseorangan. Kartini mengakui hatinya tidak sekuat pasangan poligami lain di luar sana.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN