GEORGE TOWN – Seorang juruteknik buntu apabila ibunya yang hilang sejak 9 Jun lalu masih belum dijumpai sehingga kini.
Mohd. Redzuan Rusli, 41, berkata, kehilangan ibunya, Rohani Babu, 63, atau mesra dipanggil Mak Ndak dari rumahnya di Paya Terubong, Air Hitam diketahui daripada nenek saudaranya kira-kira pukul 10 pagi.
Menurut anak tunggal itu, ibunya yang tinggal seorang diri dan mempunyai sejarah penyakit sawan tarik dipercayai keluar hanya sehelai sepinggang.
“Kebiasaannya ibu akan menunaikan solat subuh secara berjemaah, tetapi pada hari kejadian dia tidak pergi ke surau.
“Ibu mungkin keluar dari rumah pukul 3 pagi, Mykad dan dompet juga tidak dibawa.
“Merata saya mencari ibu sehinggalah ke wad dan unit kecemasan Hospital Pulau Pinang serta Seberang Jaya, tepi anak sungai berhampiran selain pasar awam,” katanya.
Tambahnya, ini kali kedua ibunya hilang dengan kali pertama kira-kira lima tahun lalu apabila wanita itu tersilap menaiki bas untuk pulang ke rumah.
“Sudah 11 hari ibu tidak pulang ke rumah. Lebih memilukan apabila ini kali pertama kami menyambut Aidiladha tanpa ibu di sisi,” katanya.
Beritahu Mohd. Redzuan, dia kini bimbang dengan keselamatan dan kesihatan ibunya memandangkan wanita itu masih perlu mendapatkan rawatan susulan di hospital.
“Saya bimbang apa-apa berlaku terhadap ibu termasuk dibawa lari individu tidak dikenali. Ini kerana keadaan rumah ketika itu tidak berkunci, pasu bunga hiasan serta
botol minuman jatuh ke lantai,” dakwanya.
Dua laporan polis telah dibuat di Balai Polis Bandar Baru di Air Itam pada 10 dan 11 Jun lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab. Hamid mengesahkan menerima laporan berhubung kehilangan wanita tersebut dan berkata, siasatan masih giat dijalankan untuk mengesan keberadaann














