PENDANG – Meskipun terpaksa bergantung dengan kerusi roda untuk bergerak, seorang bekas atlet para Sukan Malaysia (Sukma) dan isterinya yang berstatus orang kelainan upaya (OKU) dari Bukit Jenun, di sini, tidak pernah berputus asa untuk meneruskan hidup.
Che Fauzi Abdullah, 48, yang merupakan bekas atlet angkat berat kategori 56 kilogram (kg) itu berkata, dia bekerja di sebuah bengkel kenderaan, manakala isterinya, Noor Azizah Zainol, 40, mengusahakan perniagaan colek buah secara dalam talian.
“Sejak tinggalkan arena sukan pada 2019, saya mengubah suai kenderaan OKU dengan pendapatan RM90 sehari. Upah saya bergantung mengikut tempahan, biasanya empat hari seminggu.
“Kita turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM900 sebulan bagi kategori OKU,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Banggol Basin, Bukit Jenun baru-baru ini.
Menurut Che Fauzi, dia tidak lagi bergelar atlet sejak enam tahun lepas kerana faktor usia, selain mahu menumpukan perhatian kepada kerja bertukang.
“Had umur atlet seperti saya sehingga 44 tahun, lagipun karier sebagai atlet para ini tidak memberi pendapatan yang cukup kerana tiada elaun bulanan tetap.
“Bayaran yang diterima ketika saya memenangi pingat sewaktu perlawanan sahaja. Kali terakhir saya meraih gangsa pada Sukma Perak,” katanya.
Tambah Che Fauzi, dengan wang simpanan hasil kemenangannya itu dia membina rumah dan dijadikan modal untuk perniagaan isterinya.
“Isteri berhasrat untuk membesarkan perniagaan termasuk membina bengkel di sebelah rumah kami dan membeli peti ais, namun belum ada rezeki lagi. Saya pernah meminta bantuan geran untuk membina bengkel, tetapi tidak diluluskan. Saya hanya mampu dirikan bumbung dengan modal RM2,000,” katanya.
Sementara itu, Noor Azizah yang menderita tulang rapuh memaklumkan, dia berdepan kesukaran menyediakan stok colek kerana tiada ruang untuk penyimpanan.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Agrobank bernombor 2005091000086870 atas nama Che Fauzi atau menghubungi lelaki itu di talian 017-4694408.














