SETIAP umat Islam pasti mempunyai keinginan untuk mengerjakan ibadah haji.
Namun begitu, ada yang tidak sempat menyempurnakan rukun Islam itu kerana terlebih dahulu dijemput Ilahi sebelum gilirannya untuk mengerjakan ibadah itu tiba.
Tidak dapat dinafikan, tempoh menunggu untuk menunaikan ibadat tersebut melalui Tabung Haji agak lama.
Oleh yang demikian, ada segelintir masyarakat kita mengambil jalan pintas mengerjakan haji dengan menggunakan visa pelancong.
Malah baru-baru ini juga, Kosmo! melaporkan pasangan suami isteri terkandas di Mekah akibat masalah berkaitan visa pelancong untuk mengerjakan haji. Anak kepada pasangan tersebut yang dikenali sebagai Ena berkata, kedua-dua orang tuanya itu hidup dalam ketakutan dan tidak keluar dari bilik.
“Mereka hanya makan mi segera dalam bilik hotel.
“Malah, orang ketuk pintu pun mereka tidak respons sebab mereka tidak ada pasport, tidak ada gelang, tidak ada apa-apa, sampai mereka rasa seperti pelarian,” katanya.
Dalam pada itu, Pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Mohd. Anuar Ramli berkata, terdapat segelintir rakyat yang terkandas di Mekah dan Madinah kerana ingin mengerjakan haji dengan menggunakan visa pelancong atau dinamakan sebagai Haji DIY (Do It Yourself) atau Haji Backpacker.
Katanya, mereka tidak memilih laluan mengerjakan haji bersama agensi kerajaan seperti Tabung Haji atau agensi swasta di bawah Pengelola Jemaah Haji (PJH) berlesen.
“Sebaliknya, mereka memilih untuk bersama syarikat dan sindiket dan memasuki Arab Saudi menggunakan visa pelancong dan mengerjakan umrah pada peringkat awalnya, kemudian tidak pulang ke tanah air dan menunggu sehingga musim haji,” jelasnya.
Tambahnya, dalam modus operandi ini, terdapat kalangan mereka yang tahu lebih awal dan cuba untuk menggunakan atribut haji palsu seperti penggunaan gelang haji palsu, kad identiti palsu dan visa serta permit haji palsu. Dalam keadaan lain, terdapat juga mereka yang ditipu visa dan permit haji yang palsu.
Mohd. Anuar menjelaskan, penipuan yang dilakukan peringkat awal lagi melalui visa pelancongan melahirkan rantaian 1001 penipuan lain.
Sedangkan dalam ibadah haji, perkara yang dicari adalah elemen mabrur, iaitu haji yag diterima baik di sisi Allah SWT.
“Bagi golongan yang gagal memahami konsep istita’ah dengan baik, mereka akan mendakwa mengejar keredaan Allah walau terpaksa melanggar peraturan.
“Arahan Allah SWT bersifat ukhrawi, sedangkan aturan manusia bersifat duniawi dan jika ditelusuri dalam al-Qur’an, surah al-Nisa’ ayat 59, Allah SWT telah berfirman.
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ‘Ulil-Amri’ (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu,” katanya.
Tambahnya, ketaatan kepada arahan pemimpin ini disebut jelas dalam al-Quran.
Dalam isu visa dan permit haji, kuota yang dihadkan adalah bertujuan untuk keselamatan dan ketenangan jemaah haji menyempurnakan ibadah haji.















