Baru-baru ini timbul isu membabitkan penolakan Dual Language Programme (DLP) membabitkan Lembaga Sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dari 11 Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Menengah Cina (SMC) di Pulau Pinang.
Isu itu timbul susulan kumpulan berkenaan dikatakan membantah pelaksanaan sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam DLP yang dilaksanakan di sekolah terbabit.
Penolakan tersebut dilihat sebahagian rakyat negara ini sebagai penafian hak terhadap Bahasa Melayu untuk diajar menerusi program terbabit.
Ini kerana, ia seolah-olah memberi persepsi bahawa Bahasa Melayu tidak bernilai sekiranya digabungkan dengan subjek ilmiah seperti Sains ataupun Matematik.
Bantahan PIBG tersebut juga seakan-akan menguatkan lagi sentimen berkenaan kerana alasan diberikan mereka adalah pelaksanaan dasar DLP terbaharu berkenaan tidak dimahukan golongan ibu bapa dan pelajar berkaitan.
Melontarkan pandangan berkaitan isu tersebut, Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, isu membabitkan DLP perlu ditangani dengan berhati-hati.
“Sudah tentu dalam keadaan bahasa Inggeris yang jauh superior itu, ia menjadi pilihan utama untuk DLP yang membenarkan penggunaan bahasa Inggeris atau bahasa Melayu bagi pendidikan mata pelajaran Sains dan Matematik.
“Bukan itu sahaja, bahasa Inggeris ikut mengetepikan Bahasa Melayu kerana kurang dipilih, malah tidak dipilih langsung di kebanyakan sekolah,” katanya.
Beliau berkata, sehubungan itu, maka wujudlah syarat baharu bahawa DLP dalam bahasa Inggeris mulai sekarang hanya boleh dibenarkan apabila wujudnya sekurang-kurang satu kelas DLP dalam Bahasa Melayu.
Kok Seong berkata, ia memang amat sukar diwujudkan di kebanyakan sekolah kerana tiada langsung murid dan pelajar yang mahu memasuki kelas DLP dalam Bahasa Melayu.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, kerajaan perlu bertegas dalam isu DLP tersebut memandangkan 11 PIBG tersebut tidak mewakili majoriti PIBG yang ada di negara ini.
“Apa yang dikehendaki oleh Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi DLP itu adalah munasabah. Ada dalam kalangan pelajar Melayu sendiri kurang fasih (dengan bahasa Melayu), jadi pilihan untuk belajar Sains dan Matematik dalam bahasa itu adalah tidak salah.
“Penghayatan mereka dalam mempelajari mata pelajaran terbabit sudah tentunya adalah lebih baik kerana ia merupakan bahasa ibunda mereka.
“Kerajaan janganlah mengikut telunjuk segelintir kumpulan ini,” katanya.
Tambahnya, DLP yang merupakan program di bawah dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) perlu terus diperkasakan memandangkan ia merupakan pendekatan yang telah dipersetujui bersama.














