SEBERANG PERAI – ‘Kami pilih nama Nur binti Yob untuk puteri bongsu’.
Demikian perkongsian Zaleha Zainul Abidin, 42, atau mesra disapa Ummi Ha, isteri kepada Yob Ahmad, 80, tentang pilihan nama anaknya yang lahir pada 31 Mei lalu.
“Nama Nur ini bersempena dengan nama bapanya Yob yang juga tiga huruf,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurutnya, dia bersyukur dikurniakan seorang bayi perempuan yang sihat menerusi perkahwinan kali kedua ini sekali gus yang menjadikan bilangan ahli keluarga mereka kepada tujuh orang.
“Melahirkan seorang bayi perempuan di usia 42 tahun bersama seorang suami yang sudah berusia, terasa seperti mimpi walaupun pernah keguguran lima tahun lalu.
“Pelbagai cara kami lakukan untuk dapatkan anak sejak dari awal perkahwinan, namun saya sudah tidak berharap lagi selepas keguguran lima tahun lalu. Alhamdulillah kali ini ia seperti rezeki yang luar biasa untuk kami sekeluarga,” ujarnya.
Bercerita lanjut, Zaleha memberitahu, antara petua suaminya kekal kekal sihat dan awet muda di usia 80 tahun ialah bangun seawal pukul 3 pagi dan berjaga sehingga subuh.
“Suami akan zikir dan solat sunat serta hanya mandi selepas Matahari sudah terbit. Sejak muda lagi, amalan ini menjadi rutin harian Pak Yob dan antara pantang larang yang diturutinya ialah mandi sekali sehari sahaja.
“Kalau dari segi pemakanan pula, Pak Yob seorang yang kuat makan tapi dalam kuantiti sedikit, dia makan enam kali, makanan segera memang dia tak jamah langsung malah suami saya lebih suka masakan saya berbanding di kedai,” ujarnya.
Zaleha memberitahu, dia dan Pak Yob mengamalkan minum air herba setiap pagi sejak enam tahun lalu.
“Tiga tahun terakhir ni, Pak Yob mula pelihara ayam kampung untuk bekalan protein kami sekeluarga, katanya mahu makan makanan organik pula,” katanya.
Tambahnya, dia akui teruja dan gembira selepas kisah keluarga mereka menjadi inspirasi dan membuka sinar harapan buat mereka yang sedang berusaha untuk dapatkan anak.
“Saya gembira baca komen di video yang tular tu selepas ramai pasangan yang sedang berusaha untuk dapatkan anak, jadikan kami berdua sebagai pembakar semangat buat mereka.
“Sebagai seorang wanita di lewat usia 40 an, saya tiada sebarang rahsia tapi sentiasa patuh dan taat kepada suami,” katanya yang juga seorang ejen jualan minuman air herba. – KOSMO! ONLINE














